AKHYAR tengah) diasak pemain Kedah Darul Aman pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO Bernama
AKHYAR tengah) diasak pemain Kedah Darul Aman pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi. FOTO Bernama
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio memuji semangat juang pemainnya yang bangkit menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 4-1 pada aksi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Kini skuad yang bergelar Harimau Selatan hanya berbaki satu perlawanan apabila melayani kunjungan Sabah FC di laman sendiri, Sabtu ini bagi mencipta sejarah kelab itu untuk mengekalkan rekod tanpa kalah buat pertama kali sepanjang musim ini.

Apapun, pengendali kelahiran Argentina itu mengakui aksi babak pertama tampak berdepan kesukaran untuk mencipta jaringan walaupun menguasai permainan dan melakukan percubaan berbahaya malah dua peluang terbaik membuka tirai jaringan sekadar terkena palang gol.

"Kami menguasai keseluruhan permainan pada babak pertama dan ketika saya lihat pemain gementar apabila beraksi di padang kerana berada dalam tekanan dan tidak dinafikan agak sukar menembusi benteng lawan yang meletak sembilan pemain berkampung di kawasan mereka.

"Gol yang terhasil Kedah berpunca daripada salah faham apabila Matthew (Davies) menjangkakan bola yang keluar memihak JDT dan bukan Kedah. Ketika itu pemain lawan ambil kesempatan membaling bola dan di situ ruang luas ditinggalkan membolehkan pemain nombor 18 Kedah (Ronald Ngah Wanja) pantas menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan menjaringkan gol.

"Apabila memasuki babak kedua, pemain mula tunjuk karaktor yang positif dan beraksi dengan tenang untuk menguasai permanan dengan corak permainan berintensiti tinggi bagi memberi tekanan terhadap benteng lawan dan ia memberi pulangan lumayan apabila gol demi gol terhasil," katanya.

Pada perlawanan itu, walaupun pada awalnya Sang Kenari mengundang cemas buat apabila Ronald Ngah Wanja menjaringkan pada minit ke-44 tapi jaringan itu tidak bertahan lama selepas Bergson Da Silva bangkit menyamakan jaringan pada minit ke-49 dan disusuli gol minit ke-89 manakala pemain gantian Syafiq Ahmad turut meyumbang gol pada minit ke-63 dan minit 69.

Bidoglio juga menegaskan corak permainan yang dipratikkan Sang Kenari hampir memerangkap JDT yang sering melakukan serangan tapi lawan yang gemar melakukan serangan balas dengan mengumpan bola jauh memaksa barisan tengah dan pemain pertahanan JDT perlu bekerja keras bagi mengelak pemain lawan menyusup masuk ke dalam kotak penalti.

Sementara itu, penjaring dua gol dari empat gol yang terhasil JDT, Syafiq menzahirkan kesyukuran selepas membantu pasukan itu melakar kemenangan ke atas KDA FC walaupun hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada perlawanan itu.

"Sememangnya saya bersyukur kerana diberi peluang beraksi walaupun masuk sebagai pemain gantian dan saya melaksanakan tugas yang diberikan kerana bukan mudah untuk menjarigkan gol apabila berdepan Kedah yang dibarisi pemain hebat.

"Apabila diberi peluang beraksi ianya begitu bernilai buat diri saya dan peluang itu tidak boleh dilepaskan malah sebagai pemain saya harus membalas kembali kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih (Bidoglio) dan akan terus memberi yang terbaik kepada JDT," kata Syafiq

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 12:32 PM