PEMAIN JDT gigih berlatih menjelang perlawanan dengan Sabah FC. FOTO ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
PEMAIN JDT gigih berlatih menjelang perlawanan dengan Sabah FC. FOTO ihsan JOHOR SOUTHERN TIGERS
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (JDT) mengutamakan persiapan lebih mantap dan mengelak beraksi dalam tekanan berbanding memikirkan mengenai Sabah FC pada aksi pertama separuh akhir Piala Malaysia di Stadium Likas, malam esok.

Pengendalinya, Hector Bidoglio berkata, persiapan mental dan fizikal setiap pemain skuad Harimau Selatan amat penting kerana aksi separuh akhir piala berprestij yang berintensiti tinggi berbanding dengan aksi Liga Super yang ditempuhi baru-baru ini.

"Ia perlawanan sukar bagi kami apabila berdepan Sabah FC dan corak permainan berintensiti tinggi. Walaupun mereka bergelut untuk layak ke separuh akhir, saya tidak anggap mereka bernasib balik, sebaliknya pasukan itu memiliki kekuatan tersendiri sebab itu mereka boleh mara ke peringkat itu.

"Saya tidak mahu memikirkan tentang pasukan lawan, apa yang saya lakukan adalah memberi fokus kepada JDT iaitu memastikan persiapan dirancang untuk perlawanan separuh akhir berjalan lancar selain proses pemulihan pemain selepas mengharungi aksi suku akhir berada di tahap memuaskan.

"Kami kena perbaiki lagi kelemahan yang ada dan sentiasa berlatih untuk merencanakan taktikal bakal digunakan pada perlawanan itu nanti, malah kami harus tampil dengan corak permainan lebih baik berbanding aksi lepas," katanya.

JDT dua kali menewaskan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada saingan liga iaitu 2-1 pada aksi 15 Julai dan 3-0 pada aksi 15 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, pengendali kelahiran Argentina itu mengesahkan Leandro Velazquez yang diketepikan ketika JDT menentang Kelantan FC pada aksi kedua suku akhir Jumaat lalu akan kembali memperkuatkan kesebelasan utama.

"Shahrul (Saad) boleh beraksi selepas digantung satu perlawanan tapi beberapa pemain dalam bahaya kerana mengutip satu kad kuning dan mereka harus berhati-hati bagi mengelak dikenakan kad lagi kerana aksi timbal balik amat penting bagi kami.

"Saya harap Bergson (Da Silva) sudah meledak lima gol pada saingan Piala Malaysia mengekalkan momentum jaringan buat JDT apabila diturunkan untuk membawa pulang bekalan yang selesa.

"Pemain saya harus mengelak beraksi dengan tergesa-gesa dan perlu tenang menyusun strategi permainan dan pantas bertindak untuk menjaringkan gol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 12:52 PM