ARIF Aiman (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ARIF Aiman (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora lega selepas pasukannya mara ke separuh akhir Piala Malaysia apabila menang tipis 1-0 menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi suku akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Mora jelas tidak menyembunyi perasaan resah pada aksi babak pertama selepas pemain JDT tampak bermula dengan tempo permainan yang perlahanan bagi mencari ruang untuk melakukan gerakan berbahaya ke kubu skuad Lang Merah.

Katanya, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak beraksi corak permainan kompak yang menyukarkan barisan tengah dan serangan untuk melakukan serangan tatkala pasukan itu mengamalkan corak permainan berlapis.

"Apabila kami melihat Kedah beraksi dengan formasi berlapis, kami ubah corak permainan dengan agresif dan mempelbagai taktikal berbeza bagi memecah kekebalan benteng pasukan lawan yang begitu ampuh dan sukar untuk ditembusi.

"Kami juga mengamalkan corak permainan lebih pantas tapi saya akui 20 minit pertama agak sukar bagi kami apabila tiada ruang untuk pemain saya bergerak namun selepas Arif Aiman (Hanapi) menjaringkan gol pada penghujung perlawanan, barulah keyakinan mula menjelma.

"Pada babak kedua, pemain mula menyesuaikan diri dengan aksi pantas apabila menguasai keseluruhan permainan dan kami juga berjaya menghalang serang balas pemain Kedah yang berbahaya namun gandingan Shane (Lowry) dan Mauricio begitu tenang mematahkan serangan lawan," katanya.

Mora juga berpuas hati dengan corak permainan Guilherme De Paula yang mengemudi jentera serangan bagi menggantikan Bergson Da Silva malah beliau menegaskan tugas penyerang tidak semestinya menjaringkan gol sebaliknya sentiasa memberi tekanan terhadap benteng pasukan lawan

Katanya, tindakan De Paula yang sentiasa berada di kawasan kotak penalti dan memberi tekanan menyebabkan Renan Alves terpaksa mengawal pemain itu dan kesempatan digunakan Ariff Aiman dan Gonzalo Cabrera lebih bebas bergerak untuk melakukan percubaan ke arah gawang KDA FC.

Ditanya mengenai persembahan Ariff Aiman yang menjadi wira buat JDT selepas jaringan tunggalnya membawa skuad Harimau Selatan ke separuh akhir, pengendali kelahiran Mexico itu menegaskan pemain muda berusia 19 tahun masih dalam proses pembelajaran dalam permainan bola sepak.

"Ariff akan menjadi pemain berkualiti tapi perlu meningkatkan lagi prestasi dengan terus mempamerkan corak permainan lebih konsisten," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 11:53 AM