NAFUZI Zain pada perlawanan suku akhir Piala FA. -FOTO Ghazali Kori
NAFUZI Zain pada perlawanan suku akhir Piala FA. -FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pertukaran pemain dan perubahan strategi pada babak kedua menjadi pemangkin kemenangan skuad Terengganu FC (TFC) menundukkan Kuching City FC (KCFC) pada aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Selain itu penyudah tajam yang dijelmakan penyerang kelahiran Ivory Coast, Kipre Tchetche memastikan skuad Penyu mara dengan bergaya ke peringkat separuh akhir walaupun pada separuh masa pertama pemain nampak sedikit tertekan.

Hal ini diakui pengendalinya, Nafuzi Zain yang menyatakan bukan mudah untuk menjinakkan skuad kendalian bekas gurunya, Irfan Bakti Abu Salim yang sarat dengan pengalaman.

"Alhamdulillah kami berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir walaupun bukan satu perlawanan yang mudah buat pemain walaupun bertemu pasukan Liga Perdana.

"Tekanan sudah pasti diletakkan kepada kita sebagai pasukan pilihan, kita lihat pada awal permainan aksi pemain pun tidak seperti biasa, mereka takut untuk mengambil risiko, jadi banyak gerakan kita tidak begitu menjadi selain melepaskan gol mudah berpunca kesilapan kita sendiri.

"Namun pada babak kedua pemain berjaya bangkit, pertukaran pemain menjadi titik tolak kemenangan pada malam ini (malam tadi).

"Apa-apapun usaha gigih pemain menyaksikan kita selangkah lagi untuk ke final," kata Nafuzi ketika ditemui selepas pasukannya berjaya merakam kemenangan 4-1 hasil jaringan Mohd Faiz Nasir, Mohd Faisal Halim dan dua jaringan sumbangan Tchetche manakala gol sagu hati skuad The Cats dijaringkan pemain gantian, Amir Amri Salleh.

Ketika ditanya mengenai prestasi Tchetche yang kembali diturunkan walaupun sebagai pemain gantian, Nafazi akui beliau tahu kualiti yang ada pada pemain berusia 35 tahun itu kerana pernah beraksi bersama TFC musim 2017 hingga 2019 dengan berjaya menyumbat 29 gol daripada 51 penampilan.

"Saya tahu kualiti yang ada pada Tchetche, dia penyerang yang berkualiti, tapi sebelum ini dia cedera menyebabkan saya tidak menurunkannya, tapi dia membuktikan dua golnya pada malam ini (malam tadi) penting untuk pasukan bangkit.

"Selain itu keyakinan pun sudah ada daripada pemain, jadi bermula daripada situlah perubahan besar corak permainan mereka pada malam ini (malam tadi)," katanya yang akui sedikit terasa ketiadaan dua tonggak importnya, Pape Diakite dan Habib Haroon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 12:44 PM