PEMAIN Kelantan FC, Jasmir Mehat (tengah) mengasak Pemain JDT, Mohd Afiq Fazail  pada perlawanan Piala  Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
PEMAIN Kelantan FC, Jasmir Mehat (tengah) mengasak Pemain JDT, Mohd Afiq Fazail pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Amalina Alias


Kota Bharu:Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa pulang bekal selesa apabila menundukkan Kelantan FC 3-0 dalam saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.

Babak pertama, JDT terlebih dahulu bermula garang apabila membuat beberapa percubaan bahaya di tiang gol Kelantan seawal lima minit sepak mula.

Namun keghairahan skuad Harimau Selatan bertukar padah apabila pemain, La'vere Lawrence Corbin-Ong dilayangkan kad kuning seawal minit ke-8 kerana mengasari Mohd Arip Amirudin.

Gol pembukaan JDT terhasil daripada Bergson Gustavo Silveira Da Silva minit ke 29.

Minit ke 31, Arif Aiman Mohd Hanapi nyaris mencetak gol kedua pelawat, namun bola melambung tinggi ke tiang gol.

Kem anak buah Hector Pablo Bidoglio terus mengukuhkan kedudukan dengan gol kedua minit ke 37 menerusi tandukan Syafiq Ahmad hasil umpanan Mohd Afiq Fazail.

Bergson gagal menyempurnakan sepakan minit ke 39 apabila sepakan terus beliau tersasar daripada tiang gol skuad kijang.

Masuk babak kedua, gol ketiga JDT dihampakan tangkapan kemas penjaga gol, Nik Mohd Amin Ahmad.

Matthew Thomas Davies mencuba nasib menjaringkan gol namun tersasar ke tepi gawang.

Minit ke 54,Kelantan FC mensia-siakan peluang menjaringkan gol apabila sepakan Shahrul Igwan Samsudin tersasar.

Nik Mohd Amin terus beraksi cemerlang apabila berjaya menyelamatkan gol Import JDT, Leandro Sebastian Velazquez minit ke 70.

Namun, Leandro terus membuat percubaan dan berhasil menjaringkan gol ketiga buat pelawat pada minit ke 74.

Shafiq Ahmad dilayangkan kad merah minit ke 76 manakala pemain Kelantan FC, Jasmir Mehat turut menerima nasib sama di akhir tiupan wisel penamat.

Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan mengecewakan 20,011 penyokong yang hadir ke Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 11:34 PM