ARGENTINA muncul juara Copa America tahun lalu.
ARGENTINA muncul juara Copa America tahun lalu.
Reuters

Paris: Lionel Messi berkata, Argentina tidak gentar dengan mana-mana pasukan di Piala Dunia tetapi menggesa penyokong kekal tenang menjelang kejohanan di Qatar bulan depan.

Juara Copa America, Argentina yang tidak tewas dalam 35 perlawanan sejak 2019 berada dalam Kumpulan C bersama Arab Saudi, Mexico, Poland dan mengintai peluang gelaran Piala Dunia pertama sejak 1986.

"Hari ini kami beraksi dengan baik yang menggembirakan penyokong dan saya fikir kami mampu membawa pulang trofi namun tidak semudah itu," kata kapten Argentina itu kepada Directv Sports.

"Piala Dunia sangat sukar, banyak perkara di luar jangkaan boleh berlaku.Semua pasukan mempunyai keazaman yang sama.

"Tetapi kami akan berjuang, tidak takut dengan sesiapa kerana sudah bersedia menentang mana-mana pasukan dengan tanpa tekanan dan fikiran yang tenang."

Argentina memulakan kempen Piala Dunia 2018 dengan seri 1-1 menentang Iceland dalam perlawanan menyaksikan Messi terlepas penalti dan menduduki tangga kedua dalam saingan kumpulan. Namun mereka disingkirkan juara kejohanan Perancis pada aksi 16 terakhir.

Messi berpendapat menentang Arab Saudi pada aksi pembukaan 22 November adalah kunci kepada peluang pasukannya.

"Pada beberapa minit pertama dalam aksi pertama, kebimbangan dan gemuruh sukar dikawal. Perlawanan pertama sangat penting kerana kemenangan akan memberikan ketenangan kepada anda," katanya.

"Pada Piala Dunia sebelum ini, kami bermula dengan seri dan saya selalu berkata jika saya dapat jaringkan penalti, kami mungkin mengubah seluruh cerita."

Argentina akan menentang UAE untuk aksi pemanas badan terakhir pada 16 November.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 8:31 AM