MESSI dan Lewandowski bakal tampil kali terakhir di Piala Dunia. FOTO Agensi
MESSI dan Lewandowski bakal tampil kali terakhir di Piala Dunia. FOTO Agensi
AFP

Paris: Lionel Messi tahu dia mempunyai peluang terakhir menjuarai Piala Dunia bersama Argentina yang akan tiba di Qatar tanpa kalah dalam 35 perlawanan selepas cemerlang di pusingan kelayakan dan menjuarai Copa America di Brazil.

Pemenang tujuh kali Ballon d'Or itu bakal tampil di Piala Dunia kelima dan terakhirnya empat tahun selepas kempen mengecewakan di Rusia apabila Argentina tewas di peringkat 16 terakhir.

Pembantu Jorge Sampaoli pada 2018, Lionel Scaloni mengambil alih tugas sejak itu dan mengembalikan semula reputasi pasukan sehingga dijangka mampu menjuarai Piala Dunia ketiga selepas tidak bernasib baik tewas kepada Jerman pada final lapan tahun lalu.

"Kami amat teruja dan akan berjuang. Kami tidak gentar sesiapa kerana kami sedia menentang mana-mana pasukan," kata Messi kepada Directv Sports bulan lalu.

"Saya fikir perlawanan pertama sangat penting kerana kemenangan pertama memberikan anda ketenangan fikiran."

Argentina menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan C yang turut menampilkan Mexico, Poland dan Arab Saudi.

Bagi pemain yang memecahkan rekod jaringan, Robert Lewandowski masih gagal menyerlah di Piala Dunia namun masih kekal menjadi kunci kepada nasib Poland.

Pemain berusia 34 tahun itu meledak sembilan gol bagi membantu Poland layak ke Qatar sekali gus keseluruhannya 25 gol dalam 19 perlawanan sepanjang dua kempen kelayakan Piala Dunia sebelum ini.

Poland tersingkir daripada peringkat kumpulan pada 2018 dan ia masih menghantui Lewandowski. "Ia antara saat paling mengecewakan dalam karier saya," katanya dalam laman web Fifa. "Saya tidak mempunyai sebarang peluang, saya gagal menjaringkan walau satu gol dan ia amat menyakitkan."

Penyerang Barcelona itu yang juga kapten Poland dan penjaring terbanyak sepanjang zaman perlu menepati status bagi membawa pasukannya mara ke peringkat kalah mati kali pertama sejak 1986.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 9:55 AM