GUARDIOLA lega anak buah kembali dapat momentum. FOTO/AFP
GUARDIOLA lega anak buah kembali dapat momentum. FOTO/AFP
Reuters

MANCHESTER: Pengendali Manchester City Pep Guardiola bimbang kekalahan kepada Newcastle minggu lalu menamatkan peluang mereka bergelar juara Liga Perdana Inggeris namun mengakui mereka kini kembali dalam saingan selepas menewaskan Arsenal 3-1.

City kini mengumpul 59 mata daripada 25 perlawanan, dua mata di belakang pendahulu liga Liverpool yang berdepan West Ham United awal pagi esok dan Guardiola lega jurang itu tidak begitu besar selepas skuad Juergen Klopp seri dengan Leicester City minggu lalu.

“Selepas perlawanan menentang Newcastle, ramai yang yakin, begitu juga saya bahawa Liverpool akan menewaskan Leicester dan ia akan menjadi tujuh mata dan segala-galanya bakal berakhir,” kata Guardiola.

PENYERANG City, Aguero (kanan) ledak hatrik. FOTO/AFP
PENYERANG City, Aguero (kanan) ledak hatrik. FOTO/AFP

“Kini kami hanya dipisahkan dua mata dan itulah sebabnya saya tidak memandang kepada carta liga, saya tidak nafikan mahu West Ham menewaskan Liverpool tetapi Liverpool juga mahu Arsenal menewaskan kami.”

City akan berdepan pasukan di tangga kesembilan, Everton awal pagi Khamis dan Guardiola menyedari mereka perlu membina momentum, dengan pasukan di tangga ketiga Tottenham dua mata di belakang dan semakin mengejar mereka.

“Satu lagi minggu yang besar, kini kami perlu berehat dan bersiap sedia ke Goodison, kami perlu menang,” kata Guardiola.

“Tottenham menunjukkan mentaliti menakjubkan, mereka berjuang dan berjuang. Apa saja boleh berlaku.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 1:31 PM