JURGEN KLOPP
JURGEN KLOPP

LIVERPOOL: Pengurus Liverpool Jurgen Klopp menganggap kekalahan kepada Napoli di saingan Liga Juara-Juara mampu memberi inspirasi kepada pasukan bimbingannya apabila bertemu pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City di Anfield, esok.

Liverpool ketika ini menduduki tangga kedua liga di belakang City menerusi perbezaan jaringan tetapi di sebalik semua itu, mereka gagal melakar kemenangan dalam tiga perlawanan, iaitu seri di saingan Piala Liga serta tewas di Liga Perdana Inggeris kepada Chelsea diikuti kekalahan 0-1 kepada Napoli.

Selepas menganalisa pertemuan dengan kelab Itali itu, Klopp pada sidang media berkata: “Selepas perlawanan saya berasakan lawan berhak untuk menang.

“Napoli mempunyai banyak peluang sementara kami tidak mempunyai cubaan tepat.

“Pada 15 minit terakhir lawan mempunyai dua peluang terbaik dan menjaringkan gol. Bagaimanapun penyokong tidak gembira dengan persembahan Napoli.”

Beliau menambah: “Kami sudah merasai kekalahan dan kami tidak mahu merasainya sekali lagi. Jadi kami akan berjuang untuk mendapatkan keputusan lebih baik apabila bertemu City.”

Liverpool memenangi tiga pertemuan terakhir ketika bertemu City termasuk di saingan suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu.

Bagaimanapun Klopp menolak cadangan beliau mempunyai senjata istimewa apabila bertemu skuad bimbingan Pep Guardiola.

“Anda perlu bersedia dengan segala-galanya termasuk bersedia menerima kesilapan. Kemudian pastinya usaha itu akan membuahkan hasil.

“Kami mengalahkan City tiga kali musim lalu dan tidak sekali pun selepas perlawanan itu kami masuk ke bilik persalinan dan berasakan ‘kini kami tahu bagaimana untuk mengalahkan mereka’,” kata pengurus Liverpool itu.

“Kami perlu fokus, beraksi tahap terbaik untuk menjauhkan mereka dari gol kami dan mencipta peluang di depan gol kami. Saya hormati mereka, sudah tentu. Ia pasti satu kerja keras, tiada masalah dengannya, setiap orang mengetahui.” – AFP 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 10:56 AM