MACRON (kiri) bersama Bolsonaro ketika persidangan di ekonomi digital di Osaka. FOTO: AFP
MACRON (kiri) bersama Bolsonaro ketika persidangan di ekonomi digital di Osaka. FOTO: AFP
AFP

BIARRITZ: Presiden Perancis Emmanuel Macron mengecam Presiden Brazil Jair Bolsonaro kerana membuat komen biadap terhadap isterinya di Facebook.

Komen peribadi Bolsanaro mengenai isteri Macron di media sosial mengeruhkan lagi hubungan mereka selepas beberapa kali bertelingkah sejak minggu lalu berhubung kebakaran di Amazon yang menjadi antara topik utama pada persidangan G7.

“Beliau membuat komen terlampau biadap mengenai isteri saya. Amat menyedihkan buat beliau dan juga rakyat Brazil,” katanya pada sidang media di Biarritz, semalam.

Pada Ahad lalu, seorang penyokong Bolsonaro memuat naik status di Facebook mengejek penampilan isteri Macron, Brigitte dan membandingkannya dengan wanita pertama Brazil, Michelle Bolsonaro.

“Sekarang anda faham mengapa Macron menganiaya Bolsonaro?” tulis penyokong itu yang turut bersertakan gambar Brigitte, 66, dan Michelle, 37.

Bolsonaro kemudian membalas status itu dengan bergurau meminta penyokong terbabit supaya jangan memalukan Macron.

“Saya rasa wanita Brazil akan malu membacanya dari presiden mereka. Rakyat Brazil orang hebat dan mungkin akan malu melihat perangai seperti ini.

“Ketika saya merasakan persahabatan dan hormat terhadap rakyat Brazil, saya berharap mereka akan mempunyai presiden yang boleh berkelakuan baik,” tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Ogos 2019 @ 5:48 PM