NUR Azmi tengah) ketika bertemu penyokong bola sepak selepas Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA). FOTO Nazri Abu Bakar
NUR Azmi tengah) ketika bertemu penyokong bola sepak selepas Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA). FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Penyokong bola sepak Melaka United mahu kemelut yang melanda kelab itu musim ini diselesaikan segera dalam memastikan skuad berkenaan tidak terlepas tiket beraksi di Liga Super musim depan.

Capo Ultras Taming Sari, Lekir Ahmad berkata, selepas pasukan terlepas beraksi di Piala Malaysia, Persatuan Bola sepak Melaka United (MUSA) perlu terus menyelesaikan kemelut terbabit terutama tunggakan gaji secepat mungkin.

Katanya, saban tahun isu gaji membelenggu pasukan berkenaan yang sememangnya amat mendukacitakan, sehingga dia merasa malu dengan rakan penyokong negeri lain malah paling kritikal peluang bersaing di Piala Malaysia terkubur musim ini.

Menurutnya, pada awal dan pertengahan musim, penyokong amat berharap dapat bertemu pengurusan pasukan terbabit namun ia tidak menjadi realiti namun selepas kemelut berlaku, baharulah berpeluang bertemu dengan presiden baharu Datuk Wira Nur Azmi Ahmad yang bertindak untuk membantu menyelesaikan masalah terbabit.

"Tiap tahun kami didendangkan sesuatu yang menarik dan indah namun semuanya tidak tercapai tetapi diakhiri dengan masalah gaji, tidak kira apapun perancangan musim depan namun isu semasa perlu diberi perhatian sebelum peluang Melaka tertutup musim depan.

"Kami akui terkejut dengan perkembangan musim ini namun sudah kami fahami selepas dinyatakan pada Kongres Luar Biasa MUSA kali ini termasuk pemilikan saham dan pelbagai isu sehingga berlaku kemelut terbabit," katanya semasa pertemuan dengan presiden dan barisan Exco MUSA pada Kongres Luar Biasa persatuan itu di Banda Hilir, Ahad lalu.

Lekir berkata, biarpun MUSA akan membuka lembaran baharu dan bakal mengambil alih semula pasukan terbabit, namun penyokong mahu usaha menyelamatkan pasukan daripada tersingkir di Liga Super menjadi keutamaan.

Baginya, dia yakin dengan kreabiliti Nur Azmi yang mampu meningkatkan semula imej bola sepak Melaka sambil berharap tiada lagi isu selepas ia berjaya diselesaikan kelak.

Sementara itu, Nur Azmi berkata, MUSA berjanji pasukan bola sepak Melaka akan kekal beraksi di Liga Super musim depan dengan memastikan segala hutang tertunggak dibayar sebelum musim 2023 membuka tirai.

Menurutnya, dia berjanji dengan penyokong walaupun hakikat terlepas Piala Malaysia musim ini namun berusaha memastikan Melaka akan berada dalam lapan pasukan terbaik dan seterusnya layak secara automatik beraksi dalam Piala Malaysia musim depan.

"Insya-Allah kita masih ada masa untuk selesaikan segala tunggakan gaji, begitu juga dengan tunggakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah lebih RM600,000,"

"Dalam otak saya lebih kepada hutang yang perlu dijelaskan walaupun saya baharu 44 hari menyandang jawatan terbabit. Dari segi perancangan Insya-Allah akan dibincang bersama penyokong yang dianggap duta persatuan dengan idea juga boleh diambil dari pelbagai pihak untuk diperhalusi," katanya.

Nur Azmi berkata, samada mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan juga akan dibincangkan lebih terpeirnci bersama semua yang terbabit termasuk perbelanjaan hanya sekitar RM350,000 hingga RM400,000 berbanding kira- kira RM1 juta sebulan ketika ini kerana baginya berbelanja perlu diukur dengan kemampuan sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 5:35 PM