KETIADAAN Shahrul adalah disebabkan pemain itu kurang sihat selepas melaporkan diri ke kem pasukan negara hari ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
KETIADAAN Shahrul adalah disebabkan pemain itu kurang sihat selepas melaporkan diri ke kem pasukan negara hari ini. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Petaling Jaya: Tonggak pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT), Shahrul Saad antara dua pemain yang tidak menyertai sesi latihan di hari pertama skuad Harimau Malaya di Padang Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, petang tadi.

Seorang lagi yang tidak sempat menyertai latihan adalah tonggak kacukan iaitu Dion Cools yang akan hanya menyertai pasukan di Chiang Mai, Thailand nanti.

Jelas pengendali pasukan, Kim Pan-gon, ketiadaan Shahrul adalah disebabkan pemain itu kurang sihat selepas melaporkan diri ke kem pasukan negara hari ini.

"Kami akan membawa semua 25 pemain ke Thailand dan berharap mereka dapat memberikan aksi terbaik," kata jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu.

Berdasarkan tinjauan di padang latihan, 23 pemain lain berjaya menghadirkan diri sekali gus melegakan Pan-gon yang dalam persiapan untuk menghadapi saingan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand bermula 22 September ini.

Di saingan jemputan itu nanti, Malaysia akan turun menentang tuan rumah pada 22 September dan satu lagi aksi menemukan Trinidad & Tobago dan Tajikistan.

Pasukan yang kalah perlawanan itu akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, manakala dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di final dengan kedua-duanya berlangsung pada 25 September.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 8:33 PM