PAN Gon terpaksa melepaskan Shahrul dan berharap pemain itu akan segera sembuh. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
PAN Gon terpaksa melepaskan Shahrul dan berharap pemain itu akan segera sembuh. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persiapan skuad Harimau Malaya sedikit terganggu apabila khidmat tonggak pertahanan, Shahrul Saad terpaksa dilupakan.

Ia selepas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu disahkan tidak sempat pulih daripada masalah kesihatan yang dialaminya.

Jelas Pan-gon, beliau terpaksa melepaskan Shahrul dan berharap pemain itu akan segera sembuh.

Malah, jurulatih dari Korea Selatan itu mengesahkan tidak akan memanggil pemain lain bagi mengisi kekosongan Shahrul itu sekali gus hanya akan membawa 24 pemain ke saingan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand Isnin ini dengan 24 pemain saja.

"Shahrul sudah melaporkan diri bersama pemain-pemain lain, semalam tetapi pemantauan oleh doktor dan ahli fisioterapi pasukan terhadap kondisi kesihatan sepanjang dua hari ini mendapati dia tidak sempat untuk cergas sepenuhnya menjelang kedua-dua perlawanan di Chiang Mai itu nanti.

"Kami di barisan kejurulatihan dan pasukan perubatan pasukan yang sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemain sudah bersetuju untuk melepaskan Shahrul daripada kem latihan pusat kali ini, supaya dia dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

"Dengan ketiadaan Shahrul, baki 23 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya, sementara seorang lagi pemain iaitu Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Chiang Mai pada Isnin ini. Tiada penambahan pemain baharu," kata Pan-gon.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 4:53 PM