PEMAIN pertahanan JDT, Corbin Ong (kanan) memperkatakan sesuatu kepada pengadil perlawanan. FOTO ihsan FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
PEMAIN pertahanan JDT, Corbin Ong (kanan) memperkatakan sesuatu kepada pengadil perlawanan. FOTO ihsan FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) perlu menunggu lebih lama untuk mengesahkan status sebagai juara Liga Super musim ini selepas diikat PJ City FC, 2-2, pada aksi di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.

Skuad Harimau Selatan lebih menguasai perlawanan terutama pada babak pertama apabila melakukan serangan bertali arus bagi mencari gol pembukaan.

Peluang skuad kendalian Hector Bidoglio untuk berada di depan hadir seawal minit ke- 12, namun sepakan Faiz Nazmi Mansor terkena palang, sekali gus melegakan skuad kendalian P Maniam yang tidak memiliki pemain import.

Malah, juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu turut mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang untuk mendahului perlawanan, namun penyudah tumpul ayam tambatan JDT, Bergson Da Silva dan Fernando Foresteri menyaksikan babak pertama berkesudahan tanpa jaringan.

JDT tidak perlu menunggu lama untuk mendahului perlawanan sebaik babak kedua bersambung apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan lawan sebelum disempurnakan Bergson pada minit ke-46 untuk kedudukan 1-0.

Melihat jentera serangan pasukan tuan rumah kurang menyengat, Maniam memasukkan R Kogileswaran dan R Ruventhiran.

Jelas sekali dua pemain itu memberi tonik kepada PJ City apabila Darren Lok yang juga penyerang skuad Harimau Malaya menyumbat gol penyamaan pada minit ke-73.

Tersentak dengan jaringan terbabit, JDT memasukkan Akhyar Rashid dan Mohamadou Sumareh untuk menguatkan lagi jentera serangan.

Keputusan itu memberi impak positif apabila Akhyar meletakkan JDT di depan pada minit ke-85 untuk kedudukan 2-1.

Kogileswaran muncul wira pasukan tuan rumah apabila bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum melepaskan rembatan untuk menewaskan Farizal Marlias pada masa tambahan separuh masa kedua untuk kedudukan 2-2.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan dan JDT kini mengutip 43 mata manakala Sabah di kedudukan kedua dengan 36 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 11:08 PM