REAKSI Safawi selepas meledak gol pertama. FOTO FAM
REAKSI Safawi selepas meledak gol pertama. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kelincahan Akhyar Rashid yang seumpama gelecekan dalam 'tarian' nyata menjadi duri dalam daging buat pertahanan Kemboja apabila skuad Harimau Malaya berjaya melakar kemenangan 3-1 dalam aksi sulung Kumpulan B Piala AFF, hari ini.

Adik kepada bekas pemain negara, Rafdi Rashid itu jelas cukup bahaya setiap kali bola berada di kakinya dengan benteng pertahanan Kemboja nyata tidak mampu mengekang gerakan pemain sayap berusia 22 tahun itu.

Lantas, kejayaan mengutip mata penuh itu menyaksikan Malaysia membuka tirai kempen kali ini dengan langkah kanan yang disasarkan untuk mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Bishan, Singapura itu, skuad negara bimbingan Tan Cheng Hoe dilihat lebih mengancam sepanjang 45 minit babak pertama apabila kerap kali berjaya mengucar kacirkan benteng pertahanan skuad Angkor Warriors.

Selepas beberapa percubaan dari Safawi Rasid dan Guilherme de Paula masing-masing pada minit keenam dan minit ke-18 berjaya dihalang Keo Soksela, Akhyar mempamerkan kualiti geleceknya apabila berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat negara.

Safawi yang juga rakan sepasukannya di Johor Darul Ta'zim (JDT) mudah menewaskan Soksela untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0 di depan di minit ke-23.

AKSI lincah Akhyar (tengah) pada perlawanan hari ini. FOTO FAM
AKSI lincah Akhyar (tengah) pada perlawanan hari ini. FOTO FAM

Bersambung babak kedua, Kemboja yang tidak pernah menang ke atas Malaysia dalam enam pertemuan di Piala AFF sejak 1996 terus tenggelam apabila anak buah Cheng Hoe terus mengekalkan momentum positif menekan kubu lawan.

Gol kedua yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-61 apabila Akhyar sekali lagi bijak memperdaya dua pertahanan lawan sebelum melepaskan percubaan leret yang gagal ditampan Soksela.

Menyedari mampu meraih lebih banyak gol, Cheng Hoe melakukan empat pertukaran dengan memasukkan rangkaian penyerang muda iaitu Luqman Hakim Shamsudin, R Kogileswaran, Shahrel Fikri dan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia, Arif Aiman Hanafi.

Kogileswaran yang kali terakhir bersama pasukan negara pada 2018 akhirnya mencetak gol pertamanya di pentas antarabangsa selepas bijak memanfaatkan hantaran Luqman Hakim di minit 78.

Bagaimanapun, menuju dua minit terakhir menyaksikan lawan dihadiahkan sepakan penalti selepas Khairul fahmi Che Mat mengangkat kaki terlalu tinggi dan Sath Rosib yang ditugaskan mengambil sepakan itu mudah menewaskan penjaga gol kebangsaan itu.

Kemenangan pertama itu pastinya menyuntik motivasi skuad negara yang akan meneruskan kempen berdepan Laos di venue sama pada Khamis ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:27 PM