BERGSON (kanan) meraikan jaringannya bersama Nazmi Faiz. FOTO Johor Southern Tigers
BERGSON (kanan) meraikan jaringannya bersama Nazmi Faiz. FOTO Johor Southern Tigers
Syazwan Msar


Shah Alam: Juara tujuh kali Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT) jelas sekali sukar digugat apabila mencatatkan kemenangan hatrik dengan menewaskan UiTM FC 4-0 di Stadium UiTM Shah Alam, hari ini.

Perlawanan itu turut menyaksikan ubi muda JDT, Arif Aiman membuktikan dia adalah 'supersub' kepada pasukan berpengkalan di Selatan tanah air apabila kemasukkannya menggantikan Safawi Rasid pada minit ke-7 jelas membuatkan pertahanan UiTM agak lelah menerusi serangan bertali arus.

Malah, dia tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring gol apabila lincah mengelecek dua pertahanan UiTM sebelum melepaskan rembatan untuk memberikan gol pertama buat JDT pada minit ke-11.

Walaupun skuad kendalian Frank Bernhard cuba mengatur kembali pasukan untuk mencari gol penyamaan namun tetap sukar menggugat barisan pemain JDT apabila tonggak import, Gonzalo Cabrera menyumbat gol kedua pelawat pada minit ke-15 untuk kedudukan 2-0.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat seolah dahagakan gol apabila membuat tukaran empat pemain dengan memasukkan ayam tambatan baru mereka Bergson Gustavo untuk mengukuhkan bahagian serangan.

Jelas sekali, pembelian bekas pemain kelab Fortaleza Serie A itu cukup berbaloi apabila menyumbat gol ketiga JDT menerusi rembatan luar kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Azfar Arif.

Kealpaan benteng tuan rumah terus dihukum apabila serangan pada minit terakhir JDT terus meledak gol keempat pelawat menerusi Syamer Kutty Abba.

Keputusan kekal hingga wisel penamat sekali gus JDT berjaya meraih kemenangan dengan jumlah gol besar seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu liga dengan sembilan mata.

Sementara itu, perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyaksikan Selangor FC bernasib baik apabila jaringan gol pada saat akhir memberi kelegaan untuk pulang sekurangnya satu mata selepas seri bertemu Kuala Lumpur City FC 1-1.

Pada perlawanan terbabit menyaksikan tiada sebarang gol berjaya dicetak walaupun banyak serangan berbahaya dilakukan oleh penyerang kedua-dua pasukan sehingga tamat babak pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan pasukan pelawat lebih banyak menguji barisan pertahan tuan rumah sebelum Dominique Da Sylva memecah kebuntuan dengan menjaringkan gol pertama pelawat minit ke-80.

Ketika skuad kendalian Bojak Hodak berkira-kira membawa pulang tiga mata, pertahanan Kuala Lumpur City, Giancarlo Gallifuoco menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus menyaksikan keputusan muktamad seri 1-1.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 11:30 PM