PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kanan) meraikan gol pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam. FOTO Bernama
PEMAIN Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Gustavo Silveira Da Silva (kanan) meraikan gol pertama selepas menyempurnakan sepakan penalti pada perlawanan Liga Super Malaysia 2022 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui banyak 'kerja rumah' yang perlu dilakukan bagi mengatasi beberapa kelemahan yang berjaya dihidu selepas seri 2-2 dengan Petaling Jaya City FC (PJ City) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.

Jelas jurulatih yang berasal dari Argentina itu, beliau akan segera mengatasi masalah berkenaan terutama mengenai aspek tumpuan ketika menyerap serangan kilat pihak lawan.

Malah, bahagian depan juga dilihat sukar menembusi gawang PJ City yang bertahan cukup berdisiplin sepanjang aksi.

"Walaupun kami menjaringkan dua gol, tetapi masih terdapat ruang untuk kami perbaiki terutama di jentera depan pasukan.

"Ia kesilapan mudah (di benteng pertahanan) yang kami lakukan dan kami akan lihat cara untuk perbaiki kelemahan itu, di mana pasukan lawan juga mempunyai kualiti tersendiri," katanya selepas perlawanan itu.

JDT yang baharu menjuarai Piala FA pada Sabtu lalu dengan menewaskan Terengganu FC 3-1 dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil dilihat sukar untuk menembusi kubu skuad The Phoenix.

Kedua-dua pasukan terikat dalam babak pertama tanpa jaringan, namun skuad Harimau Selatan berjaya mendahului di awal separuh masa kedua menerusi sepakan penalti Bergson da Silva di minit 48.

Anak buah Maniam tidak mengalah, apabila sebaliknya menyamakan kedudukan hasil sentuhan cantik penyerang kebangsaan Darren Lok di minit 73, sebelum pelawat kembali mendahului melalui jaringan Akhyar Rashid minit 86.

Ketika perlawanan tampak memihak JDT, tonggak gantian R Kogileswaran muncul penyelamat apabila meledak gol di masa kecederaan buat menghampakan juara lapan kali berturut-turut Liga Super itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 2:58 PM