Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain menjelaskan beliau sudah mempunyai bayangan kesebelasan utama pasukannya untuk berdepan cabaran Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Malah dia akui pemainnya kini berada pada tahap prestasi dan motivasi terbaik sebelum menggalas tugas besar dalam misi memburu kejuaraan dalam pentas final itu.

Namun tanpa berselindung, jurulatih kelahiran Kelantan itu akui dia sedikit 'pening' untuk menyenaraikan kesebelasan utama memandangkan komitmen tinggi yang diberikan anak buahnya.

Bagaimanapun bekas penyerang skuad Terengganu yang membantu skuad Penyu itu menjulang trofi Piala Malaysia pada 2001 menyifatkan situasi itu kelebihan buatnya walaupun sukar untuk memilih kesebelasan utama.

"Berbaki tiga hari sahaja lagi sebelum sepak mula final Piala FA, persiapan pasukan berjalan dengan baik dan semua pemain pun bebas daripada sebarang kecederaan, kini mereka begitu fokus untuk mengharungi aksi mendebarkan itu.

NAFUZI Zain ketika sesi latihan bersama pemain menjelang perlawanan akhir Piala FA. FOTO Ghazali Kori
NAFUZI Zain ketika sesi latihan bersama pemain menjelang perlawanan akhir Piala FA. FOTO Ghazali Kori

"Malah bayangan kesebelasan utama pun sudah ada kerana tidak banyak perubahan yang bakal dilakukan, cuma berkaitan pemain import, kita belum lagi membuat keputusan siapa yang bakal diturunkan.

"Lagipun saya masih lagi melihat kombinasi yang bersesuaian ketika sesi latihan untuk bertemu JDT, jadi sejujurnya pemilihan pemain kesebelasan utama bagi saya adalah keputusan yang berat untuk dibuat lebih-lebih lagi semua beraksi dengan baik.

"Tapi saya terpaksa melakukan yang terbaik demi pasukan dalam misi merangkul trofi itu selepas 11 tahun menanti," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Mengulas kehadiran semula penjaga gol, Rahadiazli Rahalim ketika sesi latihan selepas dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Sabtu lalu Nafuzi menzahirkan rasa syukur dan gembira dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain muda itu yang beraksi cemerlang ketika aksi separuh akhir Piala FA menentang Selangor FC bulan lalu.

Rahadiazli dikejarkan ke hospital akibat tidak sedar diri selepas bertembung dengan pemain Melaka United FC.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 2:18 PM