VINCENT tidak menolak kemungkinan beli kelab Malaysia. FOTO AIZUDDIN SAAD
VINCENT tidak menolak kemungkinan beli kelab Malaysia. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim & Syazwan Msar


SELEPAS memiliki tiga kelab Eropah, ahli perniagaan terkenal negara, Tan Sri Vincent Tan tidak menolak kemungkinan membeli pasukan Liga Malaysia (Liga-M) selepas ini.

Vincent yang sudah membeli kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City di England, kelab liga satu Belgium, KV Kortrijk dan kelab utama liga Bosnia, FK Sarajevo mengakui pernah terfikir untuk mengendalikan pasukan tempatan sebelum ini.

Bagaimanapun, hasrat itu tertangguh ekoran beberapa faktor termasuk pesaing dalam saingan Liga-M kebanyakan adalah kawan–kawan berbanding Eropah yang tidak mengenali dirinya.

Katanya, perancangan untuk membeli pasukan tempatan itu ada namun bukan dalam masa sekarang.

"Susah (beli pasukan tempatan) sebab sini semua kawan-kawan. Takkan saya nak lawan dengan kawan saya. Dekat sana (kelab Eropah) saya tak ada kawan, bolehlah lawan.

"Tapi saya ada terfikir juga (beli pasukan Liga-M). Mungkin lagi dua atau tiga tahun saya akan berubah fikiran untuk beli mana tahukan. Buat masa ini belum lagi dan saya sokong semua pasukan dalam liga (Liga-M)," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin, di sini, semalam.

Pada majlis penuh bersejarah itu, Luqman yang digelar 'Golden Boy' ekoran tercalon dalam 80 bintang muda terbaik dunia dalam anugerah 'Golden Boy' musim ini ditawarkan kontrak selama lima musim oleh KV Kortrijk.

Penyerang berusia 18 tahun yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dijadualkan berangkat ke Belgium pada minggu hadapan dan akan menyertai latihan bersama pasukan utama.

Mengulas mengenai Luqman, beliau mengakui penjaring terbanyak saingan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-16 2018 itu, perlu bekerja keras bagi memikat perhatian pengurus KV Kortrijk, Yves Vanderhaeghe.

Menurut Vincent, ramai pihak termasuk pengurus kelab menyatakan Luqman masih muda dan memerlukan lebih masa lagi namun beliau menolak dan mahu bekas pemain Selangor II itu diberi peluang.

"Macam mana awak boleh kata tidak boleh, kalau tak diberi peluang. Saya katakan 'no', Luqman mesti diberi peluang untuk buktikan kemampuannya.

"Kita kena bagi setahun atau dua tahun kepada Luqman untuk buktikan. Jadi Luqman, dalam masa enam bulan ke setahun ini awak kena bekerja keras dan berikan aksi terbaik kepada pengurus pasukan," katanya.

Pada September tahun lalu, Luqman yang juga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mengikat kontrak tidak rasmi bersama KV Kortrijk kerana pada ketika itu umurnya belum mencapai 18 tahun.

Perjanjian itu sekali gus menyaksikan Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak Malaysia apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:47 PM