LUQMAN dijangka beraksi Sabtu ini.
LUQMAN dijangka beraksi Sabtu ini.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penantian peminat bola sepak Malaysia untuk menyaksikan penampilan pertama penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin di Liga Iceland semakin hampir dan dijangka bakal diturunkan oleh kelabnya, Njardvik tidak lama lagi.

Liga Iceland yang baharu membuka tirainya pada minggu lalu babitkan aksi pusingan pertama Piala Iceland menyaksikan Njardvik mudah meratah Horour I 4-0, dan dijadual menentang Augnablik pada pusingan kedua saingan kalah mati itu Sabtu ini.

Untuk rekod, Piala Iceland boleh diandaikan umpama saingan Piala FA yang menghimpunkan semua pasukan dalam sistem piramid liga di negara itu babitkan keseluruhan 72 kelab.

Manakala saingan liga utama hanya akan bermula pada bulan depan dengan kelab Luqman bakal bersaing dalam The Lengja League iaitu divisyen kedua tertinggi Liga Iceland.

Malah difahamkan, segala proses dokumentasi sudah pun selesai termasuk syarat pinjaman yang ditetapkan oleh kelab asal Luqman dari Belgium iaitu KV Kortrijk terhadap pasukan Njardvik.

Keterujaan Luqman untuk turun beraksi juga dapat dilihat menerusi beberapa keping gambar yang dimuatnaik Njardvik di mana pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dijadikan model kelab untuk mempromosikan jersi terbaharu musim ini.

Luqman sendiri mengakui sudah tidak sabar dan berazam untuk membantu pasukan dalam saingan musim ini sekaligus kembali mendapat sentuhannya.

"Pengalaman menakjubkan sertai pasukan Njardvik. Saya akan buat yang terbaik untuk musim ini. Tak sabar untuk beraksi. Bismillah," kata Luqman di Instagram miliknya.

Dia dipinjamkan selama semusim ke Njardvik selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan KV Kortrijk sejak berhijrah dari Selangor FC pada 2020 lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 April 2023 @ 4:20 PM