GALLAGHER dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua. -FOTO Reuters
GALLAGHER dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua. -FOTO Reuters
Agensi

London: Conor Gallagher memohon maaf kepada rakan sepasukan, kakitangan dan penyokong selepas dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama ketika pertemuan Chelsea menentang Leicester City malam tadi.

Pemain antarabangsa England itu dilayangkan dua kad kuning dalam tempoh 28 minit perlawanan di Stamford Bridge, menyebabkan The Blues berada di kedudukan berbahaya ketika masih belum menjaringkan sebarang gol.

Anak buah Thomas Tuchel bagaimanapun memenangi perlawanan itu dan dua gol jaringan Raheem Sterling sudah cukup buat mereka melakar kemenangan 2-1 ke atas Foxes.

Gallagher merasakan bahawa dia mengecewakan pasukannya dan mengeluarkan permohonan maaf di media sosial atas apa yang disifatkan sebagai keputusan terburu-buru selepas dilayangkan kad kuning kedua.

"Berbangga dengan pasukan kerana berusaha keras hari ini dan menang dengan 10 pemain," tulis pemain tengah itu di Instagram.

"Secara peribadi saya ingin memohon maaf kepada rakan pasukan, kakitangan dan peminat. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas keputusan terburu-buru yang menyebabkan mereka menghadapi cabaran besar untuk baki permainan. Syukurlah mereka berjaya."

Dua kad kuning Gallagher hadir dalam tempoh tujuh minit pada separuh masa pertama dan merosakkan momentum pasukannya selepas pasukan tuan rumah mendominasi.

Pengurusnya tidak begitu kagum, secara terbuka mengkritik pemain muda itu terhadap keputusan yang dilakukannya.

Tuchel berkata: "Anda tidak boleh membuat cabaran (kedua) jika anda mempunyai kad kuning selepas 20 atau 25 minit. Kesannya ialah kad kuning dan jelas ia memberi kelemahan besar buat kami.

"Tiada sebab untuk membuat keputusan itu. Dia bertanggungjawab atas apa yang dia lakukan dan sudah tentu dia tahu ia adalah satu kesilapan besar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 11:10 AM