MISBUN dikatakan mendapat tawaran untuk melatih skuad badminton beberapa negara. FOTO ARKIB NSTP
MISBUN dikatakan mendapat tawaran untuk melatih skuad badminton beberapa negara. FOTO ARKIB NSTP
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek masih belum memikirkan hala tujunya selepas berpisah dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Pengurus Peribadinya, Nor Kamal Ahmad, Misbun tidak akan membuat keputusan terburu-buru dan memilih untuk menenangkan diri buat masa sekarang.

"Datuk Misbun belum memikirkannya lagi dan tidak akan buat keputusan terburu-buru.

"Datuk lebih memilih untuk berehat dan menenangkan diri serta fikiran terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Difahamkan Misbun ada menerima tawaran daripada beberapa negara termasuklah negara jiran yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya bagi melatih skuad badminton masing-masing.

Bagaimanapun, bekas pemain perseorangan lelaki negara itu belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran yang diterimanya itu kerana masih dalam tempoh bertenang.

Dalam satu kenyataan ringkas, semalam, BAM memaklumkan kemelut antara badan induk itu dengan Misbun selesai menerusi penyelesaian secara baik yang dipersetujui kedua-dua pihak.

BAM berkata, fokus kini terhadap persiapan skuad remaja negara yang akan menghadapi Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Washington, Amerika Syarikat (AS), bulan depan.

Difahamkan, persetujuan antara kedua-dua pihak dicapai menerusi pertemuan antara Misbun dengan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada Isnin lalu.

Kenyataan BAM itu mengesahkan laporan Arena Metro sebelum ini apabila Misbun difahamkan menolak tawaran BAM untuk kembali menggalas tugas selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja negara sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.

Norza sebelum ini memohon maaf kepada Misbun susulan kemelut yang melanda antara badan induk itu dengan jurulatih berkenaan berhubung penamatan kontraknya sambil menjelaskan ia disebabkan masalah komunikasi.

Untuk tidak memanjangkan lagi isu itu, beliau menawarkan Misbun untuk kembali menggalas tanggungjawab selaku pengarah pembangunan perseorangan remaja sehingga kontrak asalnya tamat hujung tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 8:00 PM