INSIDEN pergaduhan penyokong ketika perlawanan Kelantan  FC menentang Perak FC tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
INSIDEN pergaduhan penyokong ketika perlawanan Kelantan FC menentang Perak FC tahun lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sifar keganasan atau 'zero hooligan' antara misi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar insiden pergaduhan antara penyokong mahupun pasukan dapat diatasi selepas beberapa kes dilaporkan berlaku dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini.

Keazaman itu diluahkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu perkara itu tidak berlaku kerana permainan bola sepak seharusnya berlangsung dalam keadaan selamat, harmoni dan penuh dengan kegembiraan.

Begitupun, beliau sedar kadang-kala situasi tegang boleh berlaku dan Hamidin berharap setiap pihak dapat bertindak secara berhemah bagi mengelak insiden dan mudarat yang lebih buruk.

"Pihak FAM dan saya sendiri dan juga jawatankuasa yang bertanggungjawab telah membuat tindakan dengan saluran yang betul.

"Saya menyeru agar perkara ini tidak berlaku lagi dan InsyaAllah kita akan melihat. Kadang-kadang insiden ini boleh terjadi sesekali dengan benda ini, bukan pertama kali terjadi tapi kita harap takkan terjadi lagi. Kita cuba untuk mengurangkan atau 'zero hooligen' mengenai perkara ini.

"Saya kira isu ini boleh terjadi kadang-kadang meskipun perlawanan Liga Malaysia pun akan ada perkara ini terjadi tetapi FAM, MFL dan pihak berkuasa sudah lakukan sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan para pengunjung yang datang, namun bila terjadi perkara sebegitu memang ia perkara yang berada di luar kawalan kami," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro Khamis lalu, pemerhati sukan tanahair, Datuk Dr Pekan Ramli berharap insiden tumbuk menumbuk atau pukul memukul babitkan penyokong mahupun pegawai pasukan dalam Liga M perlu dibendung kerana kegiatan itu seolah menyuburkan elemen mafia dalam arena bola sepak tempatan.

Kata Pekan Ramli, dua badan yang bertanggungjawab iaitu FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu segera mengemaskini prosedur operasi standard (SOP) dan tatakelola dalam memastikan keselamatan semua pihak termasuk penyokong, pegawai pasukan, pengamal media dan pengadil berada pada tahap optimum tanpa ada sebarang kekacauan.

Ujarnya, isu penyokong Kuala Lumpur City (KL City) yang 'dibelasah' sehingga lunyai pada aksi final Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim tempoh hari adalah 'wake-up call' buat FAM dan MFL dalam memastikan tahap keselamatan peminat terjamin.

Malah selain isu penyokong KL City yang dibelasah oleh segelintir pegawai stadium di venue final itu, dilaporkan juga seorang penolong jurulatih turut menjadi mangsa selepas kepalanya dipukul oleh seorang bekas pemain kebangsaan pada aksi separuh akhir Piala FA di lokasi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Ogos 2023 @ 1:52 PM