SANCHES menyinar di Lille.
SANCHES menyinar di Lille.
AFP

Paris: Jurulatih baharu Paris Saint-Germain, Christophe Galtier menandatangani pemain tengah Portugal, Renato Sanches awal pagi tadi dan berharap dapat menambah tiga lagi pemain sebelum tamat jendela perpindahan.

Galtier dilantik menggantikan Mauricio Pochettino bulan lalu dan juara Ligue 1 itu turut membawa masuk seorang lagi pemain antarabangsa Portugal Vitinha, pertahanan Perancis Nordi Mukiele dan penyerang muda Hugo Ekitike.

Pemain terbaru di Parc de Princes, Sanches bertemu kembali dengan Galtier selepas bekerjasama dengan pengurus itu di Lille. Pemenang Euro 2016 berusia 24 tahun itu mengikat kontrak sehingga 2027, menurut PSG dalam satu kenyataan.

Selepas gagal menepati harga 35 juta euro (RM159.90 juta) di Bayern Munich dan dipinjamkan ke kelab Inggeris Swansea City, pemain yang memulakan kariernya di Benfica itu berpindah ke Lille pada 2019 untuk memulihkan kariernya.

Ia ternyata berbaloi apabila Sanches membantu kelab utara Perancis itu meraih gelaran Ligue 1 pertama mereka dalam tempoh 10 tahun pada 2021.

Galthier dan kelab berharap hantaran tepatnya membantu menambahkan lagi ketajaman trio penyerang Kylian Mbappe, Lionel Messi dan Neymar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 7:28 AM