NEYMAR menerima kad kuning ketika menentang Maccabi.
NEYMAR menerima kad kuning ketika menentang Maccabi.
Agensi

Paris: Penyerang Paris St Germain (PSG), Neymar tidak dapat beraksi menentang Juventus dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi Khamis selepas bintang Brazil itu menerima kad kuning ketiga ketika berdepan Maccabi Haifa minggu lalu.

Menurut laporan L'Équipe, pengurus PSG, Christophe Galtier akan menurunkan pasukan kuat menentang skuad Bianconeri dengan misi mengesahkan kedudukan selaku pendahulu kumpulan yang menjadi rebutan dengan Benfica.

Ketiadaan Neymar, 30, mencetuskan persoalan siapa penggantinya dan bekas pengurus Lille itu mungkin menurunkan Carlos Soler yang beraksi ketika PSG menewaskan Ajaccio 3-0 pada 21 Oktober.

Selain itu, pilihan lain buat Galtier ialah memberikan Messi tugas di belakang dua penyerang, Kylian Mbappé dan Pablo Sarabia. Penyerang Perancis yang dipinjam dari Reims, Hugo Ekitiké juga antara pilihan untuk bergandingan dengan Mbappé.

Dilaporkan, Galtier juga memiliki skuad yang cergas sepenuhnya dengan Danilo Pereira dan Renato Sanches sudah pulih daripada kecederaan.

Pengurus itu juga menimbangkan tiga pemain di bahagian pertahanan walaupun sistem sekarang memberikan kesan positif kepada juara bertahan Ligue 1 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 11:02 AM