ANTARA aksi Sarawak United bertemu Penang. FOTO Mikail Ong
ANTARA aksi Sarawak United bertemu Penang. FOTO Mikail Ong
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Sarawak United mengubat duka kekalahan di laman sendiri Rabu lalu selepas menewaskan Penang FC dengan jaringan 3-2 dalam aksi ke-14 saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah seawal minit ke-5 melalui tendangan padu pemain pertahanan, Nor Azizi Ramlee yang gagal diselamatkan penjaga gol, Khatul Anuar Jalil malam ini.

Penyerang Penang FC, Lucas Espindola da Silva berpeluang menjaringkan gol persamaan menerusi sepakan akrobatik menarik hasil hantaran jauh kapten pasukan, Rafael Vitor pada minit ke-17.

Sarawak United bangkit mencetak gol kedua melalui Uche Agba pada minit ke-28 yang sebelum itu melarikan bola secara solo dari tengah padang dan kemudiannya melakukan sepakan deras menggunakan kaki kirinya dari sudut atas terus membolosi gawang tuan rumah.

Tidak menunggu lama tuan rumah membuat serangan balas dengan pemain tengah Gopi Rizqi melakukan hantaran silang sebelum bola disambar pantas Lucas yang kemdudiannya meledakkan gol kedua Penang FC pada minit ke-30.

Lucas ternyata berada dalam kelasnya tersendiri apabila bijak memanfaatkan peluang mencetak gol menggunakan pelbagai gaya dengan gol ketiga peribadinya kali ini dihasilkan melalui tandukan.

Penang FC turun dengan formasi 4-1-4-1 dengan menyaksikan tiga pertukaran posisi berbanding dalam perlawanan ketika ketika tewas kepada Melaka United Selasa lalu manakala Sarawak United menggunakan formasi 5-4-1.

Bersambung babak kedua kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan tercari-cari peluang menjaringkan gol ketiga untuk mengesahkan kemenangan pasukan masing-masing yang masih terikat 2-2.

Begitupun, Sarawak United mengesahkan kemenangan mereka melalui sepakan percuma yang disudahkan Gonzalo Manuael Soto pada minit ke-84.

Sebelum itu Penang FC mendapat beberapa peluang menjaringkan gol melalui sepakan percuma termasuk melalui Faiz Subri namun percubaan mereka mencipta kemenangan terkubur sehingga permainan tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 11:21 PM