RODRIGUEZ (kiri) meraikan jaringannya di Stadium Bandaraya. FOTO Bernama
RODRIGUEZ (kiri) meraikan jaringannya di Stadium Bandaraya. FOTO Bernama
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman di puncak Liga Super selepas menundukkan Penang FC, 1-0 pada aksi perlawanan ke-12 di Stadium Bandaraya, sebentar tadi.

Penang FC tampil dengan formasi 4-2-3-1 dengan Khairul Rokisham sebagai kapten pasukan terus mengemudi pertahanan dibantu Christian Rontini dengan tugas selaku penggempur kekal digalas Lucas Silva dan Hilal El-Helwe.

JDT jelas menguasai perlawanan dan bijak mencipta banyak percubaan berbahaya dan melancarkan serangan bertubi-tubi yang hampir meletakkan mereka di hadapan pada babak pertama perlawanan.

Harimau Selatan melakukan percubaan membolosi gawang gol tuan rumah seawal minit ke-11 dengan Fernando Forestieri menampan bola ke arah gol lawan sebelum Hong Wan melakukan rembatan tepat ke arah penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Penang FC mendapat peluang melakukan dua sepakan percuma pada minit ke-16 dan minit ke-25 masing-masing menerusi Gopi Rizqi dan Adib Raop namun gagal membuahkan hasil.

Malang bagi Gopi Rizqi tidak dapat meneruskan aksinya pada malam ini kerana mengalami kecederaan sehingga terpaksa diusung keluar pada minit ke-32 dan tempatnya diganti T Saravanan.

Harimau Kumbang dilihat bertahan dengan baik dan sesekali melakukan serangan balas meskipun Harimau Selatan tampak lebih kerap memegang bola dengan pemainnya tangkas menutup peluang Penang FC untuk melakukan percubaan mencetak gol.

Bersambung babak kedua perlawanan Penang FC sekali lagi mendapat sepakan percuma pada minit ke-54 namun rembatan kencang Hilal jauh tersasar melepasi palang gol pasukan pelawat.

Pemain sayap lincah JDT, Arif Aiman membantu meletakkan pasukannya di hadapan menerusi hantaran lintang sebelum Fernando Rodriguez menyempurnakan tandukan gol tepat ke gawang pasukan tuan rumah pada minit ke-69.

Keputusan kekal sehingga perlawanan tamat dengan seramai 6,252 penonton membanjiri Stadium Bandaraya malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Julai 2022 @ 11:22 PM