NIK Sharif (kiri) tekad untuk memperagakan aksi terbaik berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam esok. FOTO Ghazali Kori
NIK Sharif (kiri) tekad untuk memperagakan aksi terbaik berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, malam esok. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain baharu Terengganu FC (TFC), Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim berikrar untuk memperagakan aksi terbaiknya bagi memastikan skuad Penyu tidak pulang dengan tangan kosong menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.

Pemain pinjaman daripada Selangor FC itu yang tidak mahu tenggelam dengan pujian melambung daripada peminat setia skuad Penyu turut berazam untuk memburu gol jika berpeluang berbuat demikian.

Tambah pemain berusia 25 tahun yang menyertai TFC ketika jendela kedua perpindahan pemain pada Mei lalu, keserasian semakin baik antara rakan sepasukannya membuatkan dia lebih berkeyakinan setiap kali diturunkan.

"Saya sendiri perlukan masa untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan, bagaimanapun kini Alhamdulillah ia semakin baik dan serasi.

"Bagaimanapun sejujurnya saya belum berpuas hati lagi dengan persembahan bersama TFC setakat ini, tapi dari semasa ke semasa saya akan membalas kepercayaan diberikan ketua jurulatih untuk memberikan yang terbaik setiap kali diturunkan.

"Bertemu dengan NSFC sudah pasti tugas sukar sebab beraksi di tempat mereka, tapi Insya-Allah saya berazam untuk berikan yang terbaik buat pasukan untuk mengutip mata jika diturunkan jurulatih," katanya.

Ketika aksi menentang Kuching City FC (KCFC) pada aksi suku akhir Piala FA Sabtu lalu, aksi cemerlang Nik Muhammad Sharif termasuk dua hantaran kualitinya berjaya membuka ruang buat Kipre Tchetche dan Mohd Faisal Halim meledak gol ketiga dan keempat pasukannya sebelum merakam kemenangan 4-1.

Sementara itu pengendali TFC, Nafuzi Zain menuntut anak buahnya lebih fokus bertemu skuad Hobin Jang Hobin itu dalam misi memburu mata.

"Kami perlu menang walaupun beraksi di tempat lawan, sebab saya lihat persembahan pemain sama sahaja walaupun bermain di tempat lawan, mereka bermain dengan baik, cuma kita tidak dapat menyudahkan peluang terbaik dengan jaringan selain kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan pada aksi sebelum ini.

"Jadi pemain perlu perbaiki dan lebih fokus serta sentiasa bersedia selain tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah buat pasukan," katanya yang berkemungkinan bakal mempertaruhkan sekali lagi penyerang kelahiran Ivory Coast, Tchetche untuk merobek kubu NSFC.

Berdasarkan kedudukan terkini dalam carta liga, skuad Penyu menghuni di tangga keenam dengan mengutip 16 mata manakala NSFC menghuni di kedudukan ketiga dengan mengumpul 20 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2022 @ 1:57 PM