DATUK Mohd Yusoff Mahadi. -FOTO NSTP
DATUK Mohd Yusoff Mahadi. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Bawah 16 tahun (B-16) diharap dapat mengikut jejak langkah 'abang' dengan menjuarai Piala AFF B-16 yang akan berlangsung di Jogjakarta, Indonesia bermula 31 Julai ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kejayaan yang dikecapi anak buah Hassan Sazali Waras baru-baru ini sudah tentu meniup semangat skuad B-16 negara untuk bergelar juara apabila mengharungi perlawanan terbabit.

Beliau berkata, walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran kepada barisan anak buah Osmera Omaro namun yakin mereka mampu memberi tentangan sengit sekali gus dalam usaha melangkah ke pusingan seterusnya kelak.

Katanya, ketika ini, pasukan B-16 negara giat menjalani latihan sehingga 29 Julai ini sebagai persediaan sebelum berangkat ke Jogjakarta bagi mengharungi perlawanan itu.

"Pasukan terakhir kita ini(B-16) diharapkan dapat memberi keputusan terbaik seperti B-19 yang menjuarai Piala AFF yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.

"Kejayaan itu dilihat memberi motivasi kepada adik mereka untuk bergelar juara pada pertandingan B-16 pula," katanya.

Selain itu, Yusoff berkata, barisan pemain B-16 turut sibuk pada penghujung tahun ini apabila dijangka mengharungi satu lagi kejohanan Piala Asia Bawah 17 tahun (B-17) yang dijangka berlangsung di Jakarta.

"Kejohanan Piala Asia B-17 dijangka berlangsung pada 1 hingga Oktober depan sekali gus mengharapkan pasukan terbabit lebih bersedia mengharungi jadual yang padat," katanya.

Mengikut rekod, kejohanan Piala AFF B-16 menyaksikan Malaysia diundi dalam kumpulan C bersama Kemboja, Mnyamar dan Laos.

Pada edisi 2019, Malaysia menjuarai kejohanan Piala AFF B-16 buat kali kedua selepas menewaskan tuan rumah iaitu Thailand 2-1 pada aksi final yang berlangsung di Stadium IPE Chonburi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 12:46 PM