BEKAS pemain negara, Jamal Nasir. -FOTO NSTP
BEKAS pemain negara, Jamal Nasir. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Janganlah kita memaki jurulatih mahupun pihak pengurusan, kita cari punca kegagalan dan baiki dari situ bukan tuding jari".

Itu kata bekas pemain negara, Datuk Jamal Nasir yang mahu semua pihak terutamanya penyokong dan pemerhati bola sepak tempatan agar tenang dan jangan cepat menghukum.

Jelasnya, pencapaian skuad Harimau Malaya di Piala AFF di Singapura sememangnya mengecewakan namun ia perlu diadili dengan profesional dan berhemah.

Katanya, satu laporan lengkap akan dibentangkan oleh pengurusan pasukan kebangsaan tidak lama lagi, justeru satu jalan penyelesaian dan langkah pembaikan untuk penyediaan kejohanan di masa depan harus dirangka sebaiknya.

"Saya juga bekas pemain kebangsaan, jika kita marah dan kecewa bayangkan pemain serta jurulatih juga mempunyai perasaan yang sama, siapa yang mahukan kekalahan?

"FAM juga dalam kenyataan baru-baru ini mengakui kegagalannya dan bakal keluarkan laporan bedah siasat dalam masa terdekat. Janganlah kita memaki jurulatih mahupun pihak pengurusan, kita cari punca kegagalan dan baiki dari situ bukan tuding jari," katanya.

Dalam pada masa yang sama, dakwaan segelintir pihak yang beranggapan kegagalan Harimau Malaya menjadi kayu pengukur kepada peta hala tuju F:30 adalah tidak adil.

"Berjaya atau tidak F:30 bukan terletak pada kejayaan Harimau Malaya di Piala AFF semata-mata.

"F:30 mempunyai cabang yang lebih luas, termasuk dari segi urus tadbir, jika hendak dinilai skuad B-22 negara layak ke Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan.

"Bagi saya kegagalan di Piala AFF bukan pengakhir cerita buat industri bola sepak negara secara keseluruhan," katanya.

Sebelum ini, skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe terpaksa 'bungkus awal' dalam kempen Piala AFF apabila gagal melepasi peringkat Kumpulan B selepas hanya berada di tangga ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam.

Malaysia hanya mampu memungut enam mata hasil dua kemenangan ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0) sebelum tumbang dalam dua aksi berikutnya kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (0-4).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 1:43 PM