SABAH antara pasukan yang akan merebut tempat ke saingan Liga Super musim depan.
SABAH antara pasukan yang akan merebut tempat ke saingan Liga Super musim depan.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Drama perebutan slot naib juara dan tempat ketiga Liga Super semakin hangat diperkatakan dengan kemungkinan terpaksa menunggu saat akhir dalam perebutan membabitkan tiga pasukan.

Hanya berbaki dua perlawanan, slot terbabit kini menjadi rebutan kepada Sabah FC, Terengganu FC (TFC) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang masing-masing mempunyai peluang untuk berada di tiga teratas Liga Super selepas Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan kejuaraan Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut.

Perebutan itu bukan hanya semata-mata mengisi kekosongan tempat kedua dan ketiga, namun berpeluang beraksi di pentas Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) musim depan.

Ketika ini, Sabah FC yang dipimpin Datuk Ong Kim Swee mempunyai kelebihan dengan 39 mata untuk berada di kedudukan kedua liga manakala Terengganu dan Negeri Sembilan pula berkongsi 38 mata.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan Datuk Richard Scully, tiga pasukan terbabit sudah pastinya menurunkan barisan terbaik mereka bagi memastikan tidak berputih mata untuk berada di kedudukan terbaik kelak.

Beliau yang juga bekas penjaga gol Negeri Sembilan berkata, walaupun Sabah mempunyai kelebihan, namun TFC yang mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut sudah pasti menjadi ancaman untuk muncul naib juara liga.

"Negeri Sembilan ada potensi kerana lawan mereka adalah Melaka United dan Sri Pahang, sekali gus kemungkinan boleh mengutip enam mata.

"Cuma melihat kepada dua perlawanan terakhir membabitkan tiga pasukan ini, mungkin Sabah dan TFC agak berliku kerana bakal bertemu dengan JDT, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur (KL) City, sekali gus sukar mengutip enam mata penuh," katanya.

Sementara itu, jurulatih berpengalaman Azraai Khor Abdullah berkata, faktor untuk memastikan slot di saingan Piala Malaysia menjadi antara matlamat tiga pasukan itu untuk meraih kemenangan pada baki perlawanan Liga Super.

"Mereka mempunyai banyak misi kerana selain mahu bergelar naib juara dan tempat ketiga Liga Super, pasukan terbabit mahu beraksi di pentas Piala AFC dan mengesahkan kedudukan agak selesa pada saingan awal Piala Malaysia.

"Oleh itu, semua pasukan ada potensi, sekali gus menyaksikan perlawanan Liga Super cukup menarik walaupun berada di penghujung perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 7:01 AM