MUHAMMAD Sanusi (tengah) ketika menyaksikan perlawanan antara KDA FC melawan Selangor FC di Stadium Darul Aman. FOTO FB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
MUHAMMAD Sanusi (tengah) ketika menyaksikan perlawanan antara KDA FC melawan Selangor FC di Stadium Darul Aman. FOTO FB MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor terus 'menceriakan' arena bola sepak tanah air apabila sekali lagi mengeluarkan kenyataan menghiburkan ramai.

Terbaru, menerusi kenyataannya di Facebook, dia secara berseloroh mendakwa penyerang import Kedah Darul Aman (KDA) FC boleh bercakap Kedah.

"Mai tgk bola sat malam ni, Kedah lawan Selangor.

"Player import kami reti oooo cakap Kedah,

"Hang ni awatttt"…."

"Hang pasai paaaaa" katanya.

Kenyataan Sanusi itu secara tidak langsung mengingatkan 'peristiwa' ketika Terengganu FC (TFC) tewas 1-3 kepada JDT (Johor Darul Ta'zim) pada perlawanan akhir Piala FA, baru-baru ini.

Menerusi perkongsian video sebelum ini, Sanusi menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan JDT atas kemenangan Piala FA.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan (Adun) Jeneri itu sempat berseloroh dengan menyatakan pemain JDT tidak pandai cakap Johor.

"Tahniah JDT menang Piala FA semalam, sayangnya pemain JDT tak pandai cakap Johor," tulisnya.

Menerusi video dimuat naik, kelihatan Muhammad Sanusi bermain biola ketika menghadiri Festival Melodi Sungai Kedah.

Kapsyen itu mengundang pelbagai reaksi netizen dengan sebahagiannya terhibur dan menganggap kapsyen ditulis sekadar gurauan.

Malah, situasi itu menyebabkan Sanusi menjadi 'bahan' peminat JDT yang memuat naik pelbagai hantaran berbaur sindiran di laman sosial bagi meraikan kemenangan pasukan mereka.

Malam ini, KDA FC bertemu Selangor FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 10:01 PM