AKSI PJ City dan PKNP FC terpaksa ditangguhkan akibat beberapa pemain PJ City FC dijangkiti virus Influenza B.
AKSI PJ City dan PKNP FC terpaksa ditangguhkan akibat beberapa pemain PJ City FC dijangkiti virus Influenza B.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: Memasuki perlawanan terakhir peringkat kumpulan hari ini, tiga pasukan iaitu Pahang, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah sudah mengesahkan tempat untuk ke suku akhir saingan Piala Malaysia 2019.

Ketiga-tiga pasukan menepati ramalan awal apabila selesa mendahului kumpulan masing-masing dengan 12, 13 dan 10 mata selepas lima perlawanan.

Bagi Kumpulan A, perebutan satu lagi tempat untuk mengiringi Kedah ialah antara Terengganu FC (TFC) dengan Negeri Sembilan, manakala PKNS FC sudah boleh mengibar bendera putih apabila sekadar mengumpul empat mata hasil satu menang dan seri.

TFC bakal menentang PKNS FC dan dilihat tiada masalah mengutip tiga mata menjadikan 11 keseluruhan di gelanggang sendiri di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah selepas menang 3-1 pada perlawanan pertama.

Biarpun Negeri Sembilan mampu melakukan kejutan, cabaran berliku menanti apabila menentang Kedah di Stadium Darul Aman.

Bagi Kumpulan B, JDT terus unggul untuk ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri, manakala UiTM tersingkir awal apabila tewas lima perlawanan berturut-turut.

Perebutan bagi pasukan mengiringi JDT ke suku akhir adalah antara PKNP FC dan Petaling Jaya City (PJ City FC ), namun perlawanan terakhir terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain akibat beberapa pemain PJ City FC dijangkiti virus Influenza B.

Penganalisis bola sepak negara, Datuk Richard Scully, memilih skuad PKNP FC berikutan memiliki elemen kejutan selain rekod baik di gelanggang sendiri berbanding PJ City FC.

Kedua-dua pasukan yang memiliki sembilan dan tujuh mata perlu menang untuk ke peringkat seterusnya. “PKNP FC ini memiliki elemen kejutan. PKNP FC turun sebagai pasukan ‘underdog’ dan bermain tanpa tekanan dan inilah faktor X bagi mereka,” katanya.

Sementara itu, bagi Kumpulan C, beliau melihat Perak memiliki kelebihan berbanding Pulau Pinang untuk ke suku akhir dengan status penyandang juara dan pengalaman sebagai finalis Piala Malaysia.

Katanya, skuad The Bos Gaurus (TBG) yang kini mengumpul lapan mata di tangga kedua kumpulan berpeluang cerah mengatasi Sabah biarpun bermain di tempat lawan.

“Prestasi semasa Sabah selepas menjuarai Liga Perdana 2016, tidak konsisten biarpun mencatat kemenangan pertama 2-0 ke atas Pulau Pinang. Walaupun bermain di Stadium Likas yang dianggap stadium keramat, faktor yang membezakan kedua-dua pasukan adalah Perak lebih berpengalaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, sukar menjangkakan pasukan mana akan ke suku akhir bagi Kumpulan D berdasarkan persembahan dipamerkan.

Ketika ini, Melaka United, Selangor dan Felda United berkongsi tujuh mata, manakala PDRM di tangga terbawah dengan lima mata.

“Saya rasa bukan sebab prestasi, tapi mungkin faktor lain seperti gaji dan sebagainya. Jika diambil kira prestasi pemain yang dipamerkan memang boleh diterima,” katanya.

Melaka United akan bertemu PDRM di Stadium Hang Jebat, manakala Felda United akan melayan Selangor di Stadium Tun Abdul Razak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:30 AM