DR ZULKIFLI mendoakan Harimau Malaya terus mengaum dan mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke tahap terbaik. - FOTO INSTAGRAM DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
DR ZULKIFLI mendoakan Harimau Malaya terus mengaum dan mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke tahap terbaik. - FOTO INSTAGRAM DATUK SERI DR ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya yang layak secara merit beraksi di Piala Asia 2023 pada tahun depan.

Ia selepas skuad bimbingan Kim Pan-gon menewaskan menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun.

Zulkifli yang juga Ahli Dewan Negara menerusi status terbaru di akaun media sosial miliknya berharap skuad Harimau Malaya terus bersemangat mengangkat martabat sukan bola sepak negara.

"Alhamdulillah syukur dan tahniah #HarimauMalaya juga Ekor Harimau #um07 atas kemenangan besar menewaskan pasukan Bangladesh.

"Teruskan ngauman semangat mengangkat martabat sukan bola sepak negara ke tahap yang terbaik. Selamat maju jaya Harimau Malaya," katanya yang juga penyokong setia kelab bola sepak Liga Perdana, Liverpool.

Malaysia meraih salah satu slot naib juara terbaik sekali gus bakal berentap bersama 23 pasukan terbaik benua ini yang difahamkan bakal berlangsung sama ada di Qatar, Korea Selatan mahupun Australia pada pertengahan tahun depan.

Kali terakhir skuad negara beraksi di pentas tertinggi itu adalah pada 1980 di Kuwait selepas melepasi peringkat kelayakan secara merit, meskipun 2007 pernah berentap atas tiket tuan rumah kejohanan bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 5:48 PM