FOTO Ihsan Twitter @drzul_albakri
FOTO Ihsan Twitter @drzul_albakri
Meor Riduwan Meor Ahmad


JARINGAN cantik pemain muda Harimau Malaya, Syahmi Safari, 20, dalam perlawanan separuh akhir kedua, Piala AFF Suzuki 2018 semalam, mendapat pujian Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menurutnya, gol dihasilkan anak jati Selangor yang berusia 20 tahun itu mirip jaringan dilakukan legenda pemain bola sepak dari Brazil, Socrates.

“Gol Malaysia yang pertama oleh Syahmi Safari pada minit ke-29 mengingatkan saya kepada nostalgia gol jaringan bekas kapten Brazil Socrates. Bagi saya, itu antara gol yang terbaik setakat ini,” kata dalam catatan di Twitternya hari ini.

Beliau antara jutaan peminat bola sepak Malaysia yang teruja dengan kejayaan skuad Harimau Malaya mara ke final Piala AFF.

Biarpun mencatat seri 2-2 menentang pasukan Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Thailand, kemenangan milik Malaysia berasaskan peraturan gol di tempat lawan.

Menurut Zulkifli, beliau sememangnya menjangkakan skuad kendalian jurulatih Tan Cheng Hoe itu mampu mencatat kemenangan berdasarkan prestasi keseluruhan pemain ketika ini.

“Sejujurnya saya sudah dapat menjangkakan kemenangan ini setelah melihat prestasi keseluruhan pemain.

“Selain itu sinergi ‘coach’ Tan Cheng Hoe dan barisan pemain yang mantap telah menghasilkan natijah yang membanggakan semalam,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pemain Harimau Malaya terus komited dan tidak leka dengan kemenangan yang dicapai.

“Syabas dan tahniah! Cuma, jangan leka dan terus membina semangat untuk melakar kejayaan yang sudah tertangguh beberapa tahun. Moga #HarimauMalaya akan menjadi juara#AFFSuzukiCup2018,” katanya.

Difahamkan, bakat Syahmi digilap dari sistem bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil, sebelum terpilih mewakili Harimau Muda C dan skuad B19 Selangor.

Beliau adalah tunggak utama skuad Piala Presiden Selangor dan pernah menyarung jersi skuad B19, B23 kebangsaan sebelum diserap dalam skuad utama Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Disember 2018 @ 5:24 PM