RAUT ceria di wajah Pan-gon sejurus selepas perlawanan. -FOTO Aizuddin Saad
RAUT ceria di wajah Pan-gon sejurus selepas perlawanan. -FOTO Aizuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan Kim Pan-gon membimbing Harimau Malaya layak beraksi di Piala Asia 2023 secara merit hanya selepas tiga bulan mengendalikan pasukan mencetuskan rasa kagum rata-rata netizen.

Jurulatih dari Korea Selatan itu diumum selaku ketua jurulatih baharu Harimau Malaya pada Januari lalu menggantikan Tan Cheng Hoe tetapi hanya memulakan tugas pertamanya pada Mac.

Pan-gon atau nama singkatan di media sosial KPG, mengotakan janjinya untuk membawa pasukan layak beraksi di Piala Asia 2023 secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi sekali gus menamatkan penantian selama 43 tahun.

"Memang terbaik jurulatih KPG...perbezaan yang amat ketara corak permainan Harimau Malaya walaupun baru sekejap ambil alih. Bahrain pun kita tekan habis habisan..cuma tuah tak menyebelahi kita dan kesilapan mudah yang dilakukan pemain.

"Dah lama tak rasa keseronokan tengok permainan bola sepak pasukan negara kita...walaupun kalah, tetap terhibur dan puas hati...saya cadangkan untuk persiapan ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan, pasukan kebangsaan bekerjasama dengan JDT (Johor Darul Ta'zim) untuk berlatih di Johor..kemudahan yang ada di JDT bertaraf antarabangsa," kata Shahrul Hafizal Ijal di Facebook.

Ahmad Faizal Murtadza pula berkata: "Apa yang aku boleh cakap, game semalam memang terbaik, kalau main cenggini (macam ini) aku yakin boleh pergi world cup (Piala Dunia). Teruskan momentum."

Bagi Yusuff Zulqarnain pula, Pan-gon membawa perubahan yang sangat ketara sehingga membawa kebangkitan kepada prestasi Harimau Malaya.

"Pentingnya ada team analyst dalam pasukan bola sepak. Setahu aku, kita tak pernah lagi ada team teknikal yang sebegini. Hanya di era KPG je baru ada inisiatif tu, itu pun atas permintaan KPG sendiri.

"Apapun, terima kasih KPG! Sedikit demi sedikit aura gergasi Asia berjaya dibangkitkan dalam skuad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 2:33 PM