OSIMHEN ledak empat gol buat Nigeria dalam aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika. -FOTO APF
OSIMHEN ledak empat gol buat Nigeria dalam aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika. -FOTO APF
AFP

Johannesburg: Penyerang Napoli, Victor Osimhen meledakkan empat gol ketika Nigeria membelasah Sao Tome e Principe 10-0 di Morocco untuk mencatatkan kemenangan terbesar dalam sejarah kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON).

Kelayakan dalam pertandingan dwi tahunan itu diadakan sejak 1961 dan Ghana, Kenya dan Libya berkongsi rekod dengan kemenangan lapan gol sehingga Nigeria memecahkan rekod itu dalam aksi dekat Resort Atlantik di Agadir.

Nigeria mendahului 3-0 pada separuh masa pertama pertemuan kedua Kumpulan A dan penjaring lain adalah Terem Moffi (dua), kapten Moses Simon, Oghenekaro Etebo, Ademola Lookman dan Emmanuel Dennis.

Dengan Nigeria berkedudukan 153 lebih tinggi dalam kedudukan ranking dunia berbanding Sao Tome, pertemuan berat sebelah itu memang sudah dijangka selepas agak seimbang pada babak pertama sebelum bertukar menjadi seperti medan latihan buat pasukan Super Eagles.

Nigeria memecahkan catatan terbanyak mereka dalam kelayakan AFCON dengan tujuh gol ketika mengatasi Burkina Faso pada 1991 dengan Rashidi Yekini meledak empat gol.

Ia adalah aksi di laman sendiri buat Sao Tome, namun mereka perlu berubah ke selatan Maghribi kerana negara kepulauan kecil itu tidak mempunyai stadium bertaraf antarabangsa.

Penjaga gol, Anastacio Braganca, seorang daripada beberapa pemain berpangkalan di negara sendiri, melepaskan 15 gol dalam dua perlawanan selepas Guinea-Bissau meledak lima gol minggu lalu.

Jaringan Osimhen ketika berdepan lawan kerdil itu membolehkannya mengetuai kedudukan penjaring terbanyak kelayakan AFCON 2023 dengan lima gol, satu melebihi Pemain Terbaik Afrika, Sadio Mane dari Senegal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2022 @ 8:46 AM