SEFEROVIC (kanan) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
SEFEROVIC (kanan) meraikan jaringannya. FOTO Reuters
AFP

Geneva: Portugal dibolosi seawal 57 saat ketika tewas 0-1 kepada Switzerland pada kempen Liga Negara-Negara Uefa, hari ini.

Gol sumbangan Haris Seferovic selepas menerima hantaran cantik Silvan Widmer ketika menentang Portugal yang beraksi tanpa Cristiano Ronaldo sudah cukup memastikan kemenangan untuk Switzerland.

Kapten Portugal, Pepe melakukan penampilan antarabangsa ke-128 namun mereka tidak dapat mencipta kemenangan pada perlawanan yang menyaksikan penjaga gol Switzerland, Jonas Omlin menyelamatkan cubaan berbahaya Danilo dan Bernardo Silva.

"Kami tidak boleh melepaskan satu gol selepas 30 saat permainan. Ini kesilapan kami.

"Kami kurang agresif. Kami sememangnya mahu berada di kedudukan teratas kumpulan tetapi saya selalu mengatakan bahawa perlawanan penentuan adalah apabila menentang Sepanyol," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Kemenangan itu sangat diperlukan oleh Switzerland yang tewas tiga perlawanan sebelum ini.

Sepanyol kekal di tangga teratas Kumpulan 2 Liga A dengan lapan mata daripada empat perlawanan dengan Portugal hanya ketinggalan satu mata di belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2022 @ 7:23 AM