DUA pemain Portugal, Danilo Pereira (kanan) dan Ruben Neves cuba mengekang kelincahan Morata (tengah). FOTO EPA
DUA pemain Portugal, Danilo Pereira (kanan) dan Ruben Neves cuba mengekang kelincahan Morata (tengah). FOTO EPA
AFP

Braga, Portugal: Jaringan lewat Alvaro Morata membolehkan Sepanyol menang 1-0 ke atas Portugal dalam aksi Liga Negara-Negara di Braga awal pagi tadi dan membawa mereka ke separuh akhir.

La Roja perlukan kemenangan untuk menduduki tangga teratas Liga A Kumpulan 2 tetapi berdepan masalah sehinggalah Morata memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-88.

Sepanyol gagal mempamer prestasi sebenar di peringkat antarabangsa menjelang Piala Dunia Qatar 2022 tetapi kemenangan sukar itu meningkatkan semula keyakinan mereka.

Portugal beraksi lebih baik tetapi Sepanyol kembali bertenaga pada babak akhir permainan selepas kemasukan beberapa pemain gantian termasuk Nico Williams yang menanduk bola kepada Morata dan kemudiannya meledak rembatan kemenangan.

"Ketika saat genting kami berjaya melakukannya," kata Morata kepada TVE. "Kami memberikan segalanya di atas padang dan tidak berputus asa.

"Saya akan ingat mentaliti pasukan. Kami berjuang sehingga tamat dan Nico Williams yang beraksi kali kedua untuk negara adalah kunci utama dan saya menyudahkannya."

Sepanyol akan menyertai Itali, Croatia dan Belanda di separuh akhir pada Jun 2023 walaupun tumpuan sekarang lebih kepada Piala Dunia.

Luis Enrique melakukan pertukaran besar ke atas skuad yang tewas kali pertama di tempat sendiri sejak 2018 ketika menentang Switzerland Sabtu lalu apabila hanya mengekalkan empat tonggak.

Pengendali Portugal, Fernando Santos kecewa dengan kegagalan pasukan menjaringkan gol yang sepatutnya dapat 'membunuh' Sepanyol lebih awal.

"Kami mendapat banyak peluang berbanding lawan. Kami kecewa kerana sepatutnya kami menang," kata Santos.

"Ronaldo mempunyai tiga atau empat peluang yang biasanya dia dapat menyempurnakannya tetapi kali ini gagal. Itu lah bola sepak."

Ia pengakhiran mengecewakan buat tuan rumah manakala kemenangan amat melegakan Sepanyol selepas tewas kepada Switzerland dan dua kali seri menentang Portugal dan Republik Czech pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 7:25 AM