BARISAN pemain Ethiopia meraikan kejayaan mengatasi Mesir. FOTO Agensi
BARISAN pemain Ethiopia meraikan kejayaan mengatasi Mesir. FOTO Agensi
AFP

Johannesburg: Mesir nyata mersai ketiadaan kapten, Mohamed Salah yang cedera selepas mengalami kekalahan mengejut 0-2 kepada Ethiopia dalam kelayakan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023, hari ini.

Kekejangan otot menyebabkan penjaring prolifik Liverpool itu tidak dapat beraksi tetapi tetap bermain ketika melakar kemenangan ke atas Guinea sebelum itu walaupun tidak cergas sepenuhnya.

Mesir tidak dapat menggunakan beberapa pemain utama lain namun tetap dijangka masih mampu memperoleh mata maksimum dalam aksi Kumpulan D di Malawi menentang lawan yang menduduki ranking ke-108 dunia.

Gol menerusi Dawa Hotessa dan kapten, Shemeles Bekele pada separuh masa pertama memberikan kemenangan kepada Ethiopia.

Mesir mempunyai lebih banyak penguasaan bola pada separuh masa kedua di permukaan padang yang teruk akibat hujan lebat sebelum perlawanan.

Ethiopia terpaksa beraksi di Lilongwe kerana seperti 16 negara lain yang bersaing dalam pusingan kelayakan, mereka tidak mempunyai stadium bertaraf antarabangsa.

Jurulatih Mesir, Ehab Galal baru membimbing Mesir dua perlawanan selepas pengendali dari Portugal, Carlos Queiroz tidak bersetuju dengan syarat lanjutan kontraknya.

Galal, yang meninggalkan kelab Kaherah Pyramids untuk mengambil alih tugas selaku jurulatih Mesir, kini berdepan tugas sukar pada musim yang penuh kekecewaan untuk negara itu.

Mereka tewas pada perlawanan akhir Piala Negara-Negara Senegal menerusi penentuan sepakan penalti pada Februari lalu dan sebulan kemudian mengalami nasib sama menentang pasukan yang sama dalam playoff untuk menentukan pasukan yang layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 9:38 AM