MINTAH ledak lima gol setakat ini. FOTO TFC
MINTAH ledak lima gol setakat ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC II (TFC II), Badrul Afzan Razali menuntut penyerang utamanya, Jordan Mintah agar lebih tajam di depan gawang skuad Projek FAM-MSN apabila dua pasukan itu bertembung pada aksi Liga Perdana di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam esok.

Bekas pemain tengah Terengganu itu berkata, beliau mahukan penyerang kelahiran Ghana terbabit mengulangi pencapaian musim lalu muncul penjaring terbanyak Liga Perdana selepas meledak 16 gol.

Bagaimanapun, jurulatih meningkat naik berusia 46 tahun itu menasihati Mintah dan rakan sepasukannya agar berwaspada dengan ancaman pemain muda skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu bagi mengelak terperangkap.

"Atas kertas sudah pasti kelebihan kepada pasukan kami berbanding lawan terutama dengan kombinasi pemain import dan tempatan, namun dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku.

"Jadi saya harapkan pemain tidak terlalu yakin sebaliknya perlu beraksi seperti biasa mengikut perancangan jurulatih bagi memastikan tiga mata memihak kepada kami pada aksi terakhir pusingan pertama Liga Perdana itu.

"Saya juga meletakkan harapan tinggi agar penyerang utama, Mintah lebih tajam dan mampu memburu jaringan awal bagi menyuntik lagi semangatnya dan rakan sepasukan beraksi, lagipun dia perlu buktikan kelibatnya di depan digeruni pasukan lawan sekali gus mengintai peluang kedua muncul penjaring terbanyak sebagaimana musim lalu," katanya.

Setakat ini Mintah baharu meledak lima gol daripada lapan perlawanan termasuk dua jaringan ketika pasukannya membelasah Kuching City FC (KCFC), 5-1 di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak, Selasa lalu.

Ketika ditanya adakah bakal berlaku rombakan dalam kesebelasan utama pasukannya, Badrul menjelaskan tidak banyak perubahan bakal dilakukannya kerana gembira dengan prestasi pemain ketika menumpaskan KCFC sebelum ini. Berdasarkan rekod, TFC II kini menghuni di kedudukan ketiga Liga Perdana dengan kutipan 16 mata hasil lapan perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2022 @ 4:37 PM