AKSI Jordan Mintah di Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
AKSI Jordan Mintah di Liga Perdana. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang Terengganu FC II (TFC II), Jordan Mintah melaungkan keyakinan untuk memburu jaringan bagi memastikan skuad Terengganu FC II (TFC II) dapat mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana apabila bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, esok.

Penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini dengan 12 gol selain empat jaringan dalam pentas Liga Super ketika mewakili Terengganu FC (TFC) juga berazam untuk menambah koleksi jaringannya dalam misi untuk muncul penjaring terbanyak musim ini.

"Kami sentiasa bersedia dan berganding bahu untuk memberikan aksi yang terbaik dalam setiap perlawanan bagi mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata bertemu Kelantan FC kerana matlamat kami ialah untuk memenangi liga musim ini.

"Jadi kami tiada pilihan kecuali mendapat jaringan awal bagi menyuntik lagi semangat untuk memperagakan aksi terbaik dalam perlawanan itu," katanya yang turut mengharapkan rakan sepasukannya dapat beraksi dengan cemerlang.

Ketika bertemu Negeri Sembilan FC Sabtu lalu, penyerang kelahiran Ghana berusia 26 tahun itu yang mula menyarung jersi skuad The Turtles sejak tahun lalu muncul wira apabila jaringan tunggalnya melalui sepakan percuma memastikan kemenangan 1-0 berpihak kepada pasukannya.

Sementara itu pengendali skuad itu, Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang mudah keupayaan pasukan lawan sebaliknya perlu lebih berhati-hati lebih-lebih beraksi pada waktu petang.

Beliau juga menuntut anak buahnya dapat mengekalkan aksi terbaik sebagaimana diperagakan ketika menentang NSFC biarpun bakal turun dengan hanya dua tenaga import selain penjaga gol muda.

"Kita mahu keputusan yang positif untuk melangkah lebih jauh lagi dalam saingan musim ini terutama untuk mengekalkan rekod tanpa kalah.

"Jadi pemain perlu bekerja lebih keras bermula awal permainan walaupun beraksi di tempat mereka kerana pasukan lawan juga kuat lebih-lebih lagi beraksi pada waktu petang macam-macam boleh berlaku," katanya yang bakal menerapkan strategi terbaik selain menuntut pemainnya bijak memanfaatkan peluang sepanjang 90 minit perlawanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 10:01 PM