Penyerang TFC II, Jordan Mintah (kanan) idam gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini. FOTO TFC
Penyerang TFC II, Jordan Mintah (kanan) idam gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Gelaran penjaring terbanyak saingan Liga Perdana musim ini menjadi buruan bintang import Terengganu FC II (TFC II) kelahiran Ghana, Jordan Mintah.

Berbaki satu perlawanan lagi menentang Kelantan United FC (KUFC) yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam esok, Mintah yang kini meledak 16 gol bersaing hebat dengan penyerang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Fernando Rodriguez yang juga merekod jaringan sama untuk memburu gelaran itu.

"Ini tahun kedua saya bersama TFC II, jadi sudah tentu impian saya begitu tinggi untuk memburu gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini walaupun sedar bakal bersaing hebat dengan penyerang JDT II.

"Namun saya melihat ianya menjadi satu rahmat buat saya kerana anugerah ini merupakan impian bagi seorang penyerang dan saya sentiasa berdoa untuk itu selain memastikan kejayaan pasukan saya, apapun saya berserah namun pada masa sama akan berusaha untuk memburu gelaran itu.

"Lagipun keseluruhan pemain dalam pasukan sentiasa bersedia untuk berjuang hingga ke perlawanan terakhir liga dan kami sentiasa berdoa bersama seperti satu keluarga untuk meletakkan pasukan ini di tempat yang terbaik sebelum berakhirnya liga.

"Saya percaya jika semua pemain bersatu hati dan beraksi bagaikan pentas final, kemenangan dapat diulangi sebagaimana aksi pusingan pertama sekali gus mengintai kedudukan lebih baik dalam saingan liga, lagipun kami masih berpeluang dinobatkan sebagai juara liga," katanya kepada Sukan NSTP.

Berdasarkan rekod, penyerang yang pernah meraih gelaran penjaring terbanyak ketika mewakili bekas kelabnya, Kaya FC - Iloilo dalam Liga Filipina pada 2019 dengan mencetak 31 gol, merakam hatrik ketika pasukannya menumpaskan skuad KUFC 4-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Mei lalu.

Malah penyerang berusia 26 tahun itu juga sudah meledak empat jaringan dalam aksi Liga Super ketika membantu pasukan Terengganu FC musim ini.

Sementara itu, jurulatih TFC II, Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya agar tidak terlalu yakin sebaliknya beraksi mengikut perancangan walaupun venue pertandingan diubah di Kuala Terengganu semalam.

"Misi kita sudah pasti untuk meraih tiga mata pada aksi terakhir liga lebih-lebih lagi saingan Piala Cabaran musim ini dibatalkan.

"Kemenangan itu juga dijangka bakal merubah kedudukan dalam saingan liga, tapi saya dah pesan kepada anak buah supaya tidak memikirkan keputusan pesaing iaitu Negeri Sembilan FC dan Sarawak United." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 September 2021 @ 5:37 PM