HAMLIMAH (tiga kanan) hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir Sukan Sea Ke-31 antara Malaysia menentang Vietnam menerusi skrin gergasi di sebuah restoran dekat Seksyen 7 Shah Alam. -FOTO Bernama
HAMLIMAH (tiga kanan) hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir Sukan Sea Ke-31 antara Malaysia menentang Vietnam menerusi skrin gergasi di sebuah restoran dekat Seksyen 7 Shah Alam. -FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Penyokong bola sepak negara teruja dapat berkumpul beramai-ramai menyaksikan perlawanan separuh akhir Sukan Sea Hanoi di antara Malaysia menentang Vietnam selepas dua tahun negara berdepan pandemik Covid-19.

Seorang peminat bola sepak negara, M Sugumaran, 52 tahun, bersyukur dan gembira kerana berpeluang menyaksikan perlawanan itu buat kali pertama selepas dua tahun.

"Saya memang peminat setia bola sepak terutamanya pasukan negara, inilah kali pertama saya dapat berkumpul dengan rakan-rakan selepas dua tahun kita hadapi Covid-19 malah ini tempat kegemaran saya menonton perlawanan bola sepak.

"Selepas dua tahun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tidak pernah dapat berkumpul begini..saya sangat gembira sebab dapat tengok bola beramai-ramai dengan semangat perpaduan dan kenegaraan," katanya.

Bagi penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Muhammad Akmal Basyir Laynin, 22 tahun pula, suasana meriah menyebabkan dia dan rakan-rakan lebih bersemangat.

"Memang rancang untuk datang menonton bola di sini sebab saya tahu mesti 'happening'.

"Bila ramai seperti ini lebih bersemangat (memberi sorakan) kerana suasana macam menonton di stadium, berbeza di menonton di rumah," katanya.

Kedua-dua penyokong bola sepak negara itu antara lebih 300 yang hadir bagi menyaksikan perlawanan Separuh Akhir Sukan Sea di antara Malaysia menentang Vietnam di sebuah restoran mamak di Seksyen 7, di sini malam ini.

Program Jom Tengok Bola 'Uniti Bersama Harimau Muda' anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu turut dihadiri Menterinya, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

"Program yang kita adakan malam ini adalah untuk semarakkan lagi apa yang sedang dilakukan kementerian di bawah program KAMI@Pelan Perpaduan Keluarga Malaysia dan ini salah satu pengisian yang sedang kami lakukan.

"Saya harap kerjasama (pelbagai pihak) dapat dilakukan untuk merakamkan detik perpaduan yang boleh menjadi gambaran bagaimana agenda perpaduan nasional dapat dilakukan," kata Halimah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 12:47 PM