PRESIDEN KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO ARKIB NSTP
PRESIDEN KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO ARKIB NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: 'Tokong' dalam arena bola sepak negara tidak boleh wujud sekiranya semua pasukan mahu berentap secara adil.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bola sepak adalah sukan untuk semua dan bukannya individu, sehingga menyebabkan ada yang perlu menyembah 'tokong'.

Katanya, kewujudan 'tokong' akan menjejaskan mana-mana pasukan untuk bermain secara adil semasa permainan.

"Sebenarnya bola sepak bukan untuk individu, sebelum perlawanan, bawa banner besar tertulis 'fair play', tetapi ada tokong. Semua nak kena sembah tokong, nak kena tanya dia dulu, jadi jenuh la nak main bola macam ini.

"Contoh berlaku satu kejadian luar biasa dalam kancah bola sepak apabila pengadil perlawanan memberikan tambahan masa 10 minit pada babak kedua perlawanan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan sebelum ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata, bukan beliau seorang yang mempertikaikan tambahan masa itu, malah ramai lagi yang turut mempersoalkannya di media sosial.

Katanya, masa tambahan 10 minit yang diberikan pengadil itu sangat luar biasa kerana kebiasaannya masa tambahan paling lama yang akan diberikan adalah tujuh minit.

"Sebagai ahli gabungan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), kita nak perkara menggelikan hati begini ditangani segera. Saya rasa main bola masa tambahan paling panjang pun tujuh minit dan itu pun kalau berlaku patah kaki contohnya, yang memerlukan pemain diusung keluar.

"Dalam perlawanan itu patah jari pun tak ada, tetapi masa tambahan sampai 10 minit. Ini sesuatu yang 'very rare'," katanya.

Beliau berkata, ketika ini semua orang tahu mengenai apa yang berlaku, namun mereka tidak bercakap mengenai perkara itu.

"Jangan sampai saya bercakap pula. Apa yang saya katakan ini baru permulaan dan kalau keluar semua sekali, habis.

"Saya sedang kumpulkan lagi apa benda yang patut dicakap. Saya cakap untuk kebaikan bola sepak dan kalau betul nak tingkatkan mutu bola sepak negara, perkara 'rare' begini perlu dilihat dengan mata terbuka," katanya.

Pada aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 11 Mei lalu, NSFC tewas 0-1 hasil jaringan penyerang import JDT, Fernando Forestieri ketika masa tambahan 10 minit bagi masa kecederaan separuh masa kedua.

Dalam perkembangan sama, beliau berharap pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dapat memperbaiki mutu permainan kerana prestasi yang kurang memberangsangkan itu hanya akan terus mengecewakan penyokong, penonton dan penaja pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 5:37 PM