OTT (jersi hijau) cuba melepasi halangan pemain PJ City. FOTO SYAFEEQ AHMAD
OTT (jersi hijau) cuba melepasi halangan pemain PJ City. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nazri Abu Bakar

Melaka: Melaka United sekadar seri 0-0 berdepan PJ City walaupun menguasai hampir seluruh perlawanan Liga Super di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Selepas tewas tiga perlawanan di laman sendiri pasukan terbabit tampil garang untuk melupakan kekecewaan terbabit untuk meraih mata maksimum.

Malah selepas mendapat pelbagai respons dan teguran pengurusan dan peminat skuad berkenaan jelas tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan namun percubaan Stefan Nikolic m-3 dan m-13 berjaya diselamatkan penjaga gol Kalamulllah Al-Hafiz Mat Rowi.

Menguasai setiap babak awal tuan rumah berjaya melakukan gerakan menarik untuk mencari gol semangat ketika lawan lebih banyak berkubu di kawasan sendiri.

Namun usaha mereka memecah kebuntuan tidak berhasil termasuk menerusi percubaan Manuel Ott pada minit ke -26 yang tinggi melepasi palang gol.

Buruan Melaka terus agresif bagaimanapun tandukan Syamim Yahya pada minit ke-31 sekadar menggeggar palang gol diikuti dua minit selepas itu menerusi Ott yang berjaya ditepis keluar Kalamullah.

Malah Kalamullah bertindak cemerlang menepis tandukan kencang Nikolic pada m-43 dalam memastikan gawangnya tidak bocor sebelum ke bilik persalinan.

Bersambung babak kedua Melaka terus giat mencuba menerusi Sony Norde dan Wan Zaharulnizam Zakaria pada m-48 dan 49 namun Kalamullah masih kental menutup gawang.

Bagaimanapun, pelawat sesekali turut melakukan percubaan dari luar kotak penalti namun tidak berjaya menewaskan penjaga gol tuan rumah Khairul Fahmi Che Mat yang selesa sepanjang babak perlawanan.

Apapun, kecemerlangan Kalamullah di muka gawang dengan menyelamatkan sekurang-kurangnya tujuh percubaan bahaya bagi mengelak kekalahan.

Keputusan itu meletakkan Melaka dalam zon bahaya penyingkiran ke Liga Perdana jika mereka masih terus gagal untuk melakukan kebangkitan pada baki aksi selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 12:20 AM