PEMAIN Negeri Sembilan FC, Matheus Alves Leandro diasak pemain Johor DT pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Azrul Edham
PEMAIN Negeri Sembilan FC, Matheus Alves Leandro diasak pemain Johor DT pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman. FOTO Azrul Edham
Mohd Amin Jalil


Seremban: Permainan terbuka yang diperagakan skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) pada pertembungan dengan Johor Darul Ta`zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi, menangkis pandangan segelintir pihak bahawa NSFC bakal membuat 'parkir bas'.

Ketua jurulatih NSFC, K Devan berkata, ramai pihak beranggapan bahawa skuad Hobin Jang Hobin bakal mempamerkan aksi bertahan sepanjang tempoh perlawanan itu atas faktor kekuatan dan reputasi JDT selaku juara lapan kali Liga Super dan beraksi cemerlang di pentas kejuaraan antara kelab-kelab Asia.

"Sebelum perlawanan ada pihak beranggapan bahawa NSFC akan buat 'parkir bas'..tapi kita tak parkir bas hari ini (malam tadi), kita beraksi seperti biasa dengan permainan terbuka.

"Walaupun kita tahu JDT adalah kekuatan tersendiri, tetapi pemain Negeri Sembilan berjaya mempamerkan karektor sebenar.

"Saya bangga dengan prestasi serta komitmen tinggi dipamerkan setiap pemain Negeri Sembilan di mana mereka menunjukkan aksi proaktif walaupun kita menerima tentangan dari setiap sudut," katanya kepada media selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Fernando Martin Forestiere muncul wira JDT menerusi jaringan cantik dari jarak kira-kira 30 meter darluar kotak penalti dalam masa tambahan 10 minit pada penghujung perlawanan sekali gus meletakkan JDT memimpin carta liga dengan himpunan 15 mata.

Devan yang juga pengurus pasukan berkata, setiap bahagian pasukan dilihat berfungsi dengan baik dan pemain berjaya memainkan peranank serta tanggungjawab dengan berkesan sepertimana dirancang.

Malahan katanya, jentera serangan pasukan juga berjaya mencipta beberapa peluang jaringan di hadapan pintu gol skuad Harimau Selatan itu.

"Saya ucapkan tahniah kepada JDT atas kemenangan mereka malam ini," kata pengendali kelahiran Bahau Negeri Sembilan itu.

Devan akui pencapaian yang dicapai skuad bimbingannya itu setakat ini dengan mendominasi dua tangga teratas carta liga adalah tidak dijangka, malah berada dalam kedudukan itu juga disifatkannya sebagai suatu kejutan.

Menurutnya, kejayaan memenangi empat perlawanan dan dua seri yang dicapai pasukan itu ketika ini adalah terjemahan keyakinan serta semangat berpasukan yang tinggi kalangan pemain.

"Keyakinan dan semangat berpasukan menjadi antara faktor utama terhadap persembahan dan pencapaian pasukan ketika ini, apa tah lagi kami pasukan baharu selepas beberapa tahun beraksi di Liga Perdana.

"Tapi kita belum berada pada tahap sebuah pasukan yang boleh berada di dalam kelompok ketiga atau keempat terbaik carta pada penghujung saingan nanti kerana ia masih awal lagi.

"Saya rasa kita boleh tunjukkan satu prestasi dan pencapaian baik dalam Liga Super tahun ini," katanya yang akui memerlukan antara tiga hingga empat tahun bagi membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 12:09 PM