PENGENDALI NSFC, K Devan mengesahkan akan membawa pemain import baharu bagi menguatkan posisi serangan. FOTO Rizar Mohd Noor
PENGENDALI NSFC, K Devan mengesahkan akan membawa pemain import baharu bagi menguatkan posisi serangan. FOTO Rizar Mohd Noor
Rizar Mohd Noor

[email protected].

Johor Bahru : Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K Devan mengesahkan akan membawa masuk seorang pemain import pada jendela perpindahan kedua yang bermula 3 Mei lalu bagi menguatkan barisan serangan.

Beliau berkata, pemain import yang belum didedahkan nama akan bersama skuad Hobin Jang Hobin dalam masa terdekat bagi mengharungi saingan Liga Perdana pusingan kedua tatkala pemburuan untuk muncul juara liga tampak begitu tinggi.

"Kita akan cari pemain import bagi menggantikan seorang pemain import NSFC yang tidak beraksi akibat kecederaan berpanjangan dan jika ada bajet kita perkuatkan lagi pasukan menghadapi saingan pusingan kedua.

"Saya juga akan cuba bawa mungkin seorang pemain atau dua pemain tempatan beraksi bersama NSFC mengikut posisi kerana kelemahan kita di posisi serangan. Malah pemain yang beraksi juga masih mengalami kecederaan," katanya.

Mengulas kegagalan NSFC mencipta kemenangan selepas sekadar seri 0-0 dengan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Devan menegaskan ada perubahan formasi yang menyebabkan pemain tampak kurang selesa untuk bermain secara konsisten,

"Banyak perubahan saya lakukan dalam perlawanan itu, biasa kita beraksi dengan lima pemain pertahanan tapi pada aksi menentang JDT II, saya ubah iaitu menggunakan empat pertahanan dan sebab itu berlaku kekeliruan namun saya tetap lega kerana kita catat keputusan seri," kata Devan.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez agak terkilan selepas misi memburu kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian walaupun bayangan itu boleh menjadi realiti apabila JDT II dihadiahkan sepakan penalti.

"Bukan sahaja kita gagal menyepak masuk sepakan penalti malah dua peluang di depan gol yang sememangnya boleh gol tapi pemain saya gagal merobek gawang pasukan lawan. Memang nasib tidak menyebelahi kami,

"Kami turun dengan seorang pemain import sahaja iaitu Kei (Hirose) selepas Nicolas Fernandez mengalami kecederaan dan perlu berehat sekurang-kurangnya tiga minggu manakala Fernando Rodriguez menyertai JDT untuk aksi menentang Penang FC, malam ini," kata Sanchez

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 2:44 PM