HAALAND sah milik Man City. FOTO AFP
HAALAND sah milik Man City. FOTO AFP
AFP

Wolverhampton: Ketibaan Erling Haaland ke Manchester City bakal menyaksikan jentera serangan juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu lebih berbisa, kata Pep Guardiola selepas pasukan bimbingannya membenam Wolves 5-1, hari ini.

Pembelian Haaland yang bernilai AS£51 juta (RM273.7 juta) itu menamatkan kemarau pencarian City untuk mendapatkan penyerang bagi menggantikan Sergio Aguero.

Bagaimanapun keperluan di bahagian serangan tidak begitu ditagih ketika aksi di Molineux selepas Kevin De Bruyne berjaya menjaringkan empat gol termasuk hatrik dalam masa 24 minit.

Raheem Sterling melengkapkan jaringan kemenangan City sekali gus menambah jumlah gol dalam lima perlawanan terakhir Liga Perdana kepada 22 gol.

Bagaimanapun Guardiola dilihat masih tidak berpuas hati dengan beberapa peluang terbaik kerana perbezaan jaringan gol mungkin akan menjadi faktor penentu kepada perebutan kejuaraan liga.

City unggul di tangga teratas liga dengan tiga mata di hadapan Liverpool ketika berbaki dua perlawanan lagi.

"Sudah tentu dia boleh membantu kami menjaringkan lebih banyak gol," kata Guardiola ketika ditanya berapa banyak pasukannya mampu menjaringkan gol apabila Haaland mengetuai jentera serangan.

"Tahniah kepada kelab. Kami sangat gembira dia memutuskan untuk menyertai kami.

"Musim depan kami akan bekerjasama. Kami akan membantunya untuk cepat menyesuaikan diri di Manchester," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 10:44 AM