Jordi Alba (kiri) meraikan kejayaan meledakkan gol buat Barcelona. -FOTO AFP
Jordi Alba (kiri) meraikan kejayaan meledakkan gol buat Barcelona. -FOTO AFP
AFP

Madrid: Barcelona mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selepas jaringan Jordi Alba minit ke-94 ketika menentang Real Betis menjaminkan tempat buat Catalan di kedudukan empat teratas La Liga.

Sepakan voli Alba ketika masa kecederaan mengesahkan kemenangan Barca 2-1 di Benito Villamarin, kemenangan yang cukup penting bagi menghidupkan semula harapan memulihkan faktor kewangan kelab itu.

Ketika Xavi Hernandez mengambil alih tugas selaku jurulatih kelab itu pada November lalu, Barcelona berada di kedudukan kesembilan La Liga mencetuskan kebimbangan peluang mereka untuk merapatkan jurang.

Namun, barisan pemain Xavi berjaya melonjakkan kedudukan dan kini boleh menaruh harapan untuk menyertai musuh mereka Real Madrid dalam saingan utama di Eropah musim depan.

"Kami berjaya menyelamatkan keadaan," kata Xavi.

"Pasukan ini percaya hingga ke akhirnya, mereka mempunyai kelebihan berdaya saing yang tidak kami miliki pada November."

Perbezaan antara Liga Juara-Juara dan Liga Europa mungkin bernilai lebih 50 juta euro (RM230.5 juta) buat Barcelona, yang memulakan musim dengan hutang lebih 1 bilion euro (RM4.6 bilion), dan terpaksa melepaskan Lionel Messi secara percuma pada musim panas lalu.

Menamatkan musim tanpa sebarang trofi bukanlah satu kejayaan buat Barca, namun menamatkan saingan di kelompok empat teratas sudah dianggap sebagai cukup baik buat Xavi dan melegakan kelab.

"Kami adalah Barca, jadi ia adalah keperluan yang minimun tapi pada November lalu kami berada di tempat kesembilan.

Kemenangan itu meletakkan Barcelona di tangga kedua liga, 11 mata di depan Betis yang menghuni tangga kelima. Kedua-dua pasukan mempunyai baki tiga perlawanan musim ini.

Barca juga dilihat mampu menamatkan saingan kedudukan di tempat kedua, dengan lima mata mendahului Sevilla yang akan menentang Villarreal malam ini.

Real Madrid yang mendahului dengan kelebihan 12 mata, akan bertandang ke laman Atletico Madrid awal pagi nanti

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mei 2022 @ 11:00 AM